fbpx

GTR Malaysia bimbing, latih rakyat miskin bandar tambah pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis penyerahan surat lantikan kepada NGO yang akan memberikan latihan dan kemahiran kepada golongan B40 menerusi program PEKB yang diadakan di Putrajaya semalam.

PETALING JAYA – Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR) akan memberi kemahiran serta melatih golongan B40 di kawasan bandar menjana pendapatan menerusi program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB).

Timbalan Ketua Setiausaha Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Suhaimi Ali berkata, surat kebenaran dan lantikan kepada kelab tersebut untuk mengendalikan program PEKB telah diserahkan kepada Pengasas Kelab GTR, Nordin Mat dalam satu majlis yang diadakan di Putrajaya, semalam.

Jelas Suhaimi, pelaksanaan program PEKB adalah khusus untuk membantu penduduk miskin di kawasan bandar meningkatkan pendapatan mereka seterusnya berjaya keluar daripada garis kemiskinan bandar.

“Program ini merupakan salah satu daripada program pembasmian kemiskinan bandar yang dilaksanakan oleh pihak kementerian yang bermula sejak tahun 2013 dan ia bermatlamat meningkatkan kemahiran kumpulan sasar yang berdaftar dengan sistem E-Kasih dan tinggal di kawasan bandar.

“Ia dilaksanakan supaya mereka mampu mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan punca pendapatan lebih tinggi seterusnya meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, untuk tahun ini, pihaknya menyasarkan seramai 835 orang peserta akan menyertai program PEKB melalui 14 bidang latihan antaranya makanan dan minuman, servis pembaikan peralatan, jahitan, rekabentuk dan percetakan.

Ujar beliau, pelaksanaan program PEKB akan menjadi satu pakej yang lengkap di mana peserta yang mengikuti prorgam ini bukan sahaja akan diberi latihan kemahiran semata-mata tetapi juga turut disuntik dengan kursus motivasi, keusahawanan dan pengurusan kewangan.

“Selepas program selesai, peserta akan dibekalkan dengan peralatan bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan seterusnya akan dipantau oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai pelaksana program,” ujarnya.

Sementara itu, Nordin berkata para peserta akan diberikan latihan dan bimbingan dalam perniagaan menjual burger jalanan iaitu perniagaan yang kini sudah berjaya membuka lebih 350 stall burger di seluruh negara.

“Terima kasih kepada pihak KPKT atas penyerahan surat kelulusan untuk kita melaksanakan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) di seluruh negara melalui program dengan GTR Burger.

“Jadi kepada yang terlibat dengan program E-Kasih, boleh kita bersama-sama untuk menjalankan program ini dan semua kos ditanggung oleh pihak kerajaan sepenuhnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI