fbpx
Setelah usus dibedah, Jin Wei hanya boleh makan sekali sehari membuatkannya sering bergelut untuk kekal bertenaga sampai hujung perlawanan. Justeru, ada suara-suara yang meminta Kementerian Belia dan Sukan membantu bekas juara remaja dunia dua kali itu mendapatkan kepakaran perubatan agar bakat yang amat jarang dimiliki negara itu tidak dipersia.

KBS, bantulah Goh Jin Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Diaibkan skuad Filipina dalam acara badminton berpasukan wanita pada Sukan SEA Kemboja seharusnya sudah cukup memberi amaran bahawa badminton wanita tanah air kini kritikal dan Goh Jin Wei perlu segera ‘diselamatkan’.

Hakikat kalah dengan Filipina 3-0 suatu yang amat tidak boleh diterima sehingga ada orang atasan yang bertindak meletakkan jawatan serta-merta.

Kemaraan Filipina tidaklah terlalu mengejutkan. Barangkali pasukan itu sudah alami anjakan setelah menerima ‘sentuhan’ Rosman Razak yang mengetuai kejurulatihan seluruh skuad badminton Filipina tahun lalu sebelum kembali ke tanah air membimbing beregu profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tahun ini. Cuma, pemain negara yang tak ‘berganjak’ mana.

Sektor perseorangan wanita amat tidak stabil selepas ketiadaan Jin Wei (yang pada asalnya bersara pada 2021) diikuti Soniia Cheah. Beberapa pemain yang disangka sandaran baharu pun akhirnya kecundang sama ada terus bersara atau menjadi pemain profesional. Mujur kini K. Letshanaa kembali.

Nama Jin Wei menjadi sensasi baru-baru ini ekoran kejayaannya menumbangkan bekas juara dunia dari India, Pusarla Sindhu sekali gus mengesahkan kemaraan Malaysia ke suku akhir Piala Sudirman.

Daripada kagum menyaksikan Jin Wei ‘belasah’ Sindhu 7-0 pada awal set ketiga, penyokong negara berubah cuak dan ‘merayu’ Jin Wei terus bertahan kala lihat dirinya menunjuk-nunjuk dada dengan jari bak orang putus nafas di hujung-hujung perlawanan.

Ramai khuatir ‘skrip-skrip’ lalu berulang sebagaimana dirinya terpaksa menarik diri kala perlawanan rubber set berlangsung sengit 12-13 menentang Yvonne Li di All England tempoh hari ekoran masalah kesihatan.

Bekas juara remaja dunia dua kali itu ditimpa masalah sakit dalam perut dan mengumumkan persaraan pada 2021 selepas jalani pembedahan membuang sebahagian usus.

Dia kembali ke arena badminton setahun selepas itu setelah kesakitannya dapat dikawal, namun dia nyaris digantung dua tahun. Bayangkan, jika tiada Jin Wei, tidak tahu berapa lama Malaysia akan kemarau pemain perseorangan wanita yang boleh beraksi di kejohanan tahap tinggi.

Jin Wei pernah memberitahu media, dia hanya boleh makan sekali sehari, itupun lewat petang sekali gus tenaganya sangat terbatas. Hidupnya bergantung kepada ubat. Jika bermain di tengah hari, dia bermain dalam keadaan perut kosong. Justeru, Jin Wei berkata, cabaran terbesar baginya adalah untuk mengekalkan tenaganya sehingga akhir perlawanan.

Jin Wei sifatkan itu adalah pengorbanan yang perlu dilakukan jika mahu meneruskan karier badmintonnya. Wanita itu tidak pernah menjadikan masalah kesihatannya sebagai alasan kekalahan sebaliknya berulang kali bersyukur kerana diberi peluang kembali ke gelanggang,

Ramai berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh memberi bantuan serta tumpuan sewajarnya buat Jin Wei agar tahap kesihatannya bertambah baik.

“Jika ada sesuatu yang boleh KBS lakukan untuknya (Jin Wei) adalah dengan mendapatkannya kepakaran perubatan agar dia kembali ke tahap sehampir mungkin dengan kondisi sebelum sakitnya. Jika tidak, negara hanya mempersiakan satu peluang,” kata netizen.

Benar Jin Wei belum mampu saingi pemain-pemain hebat seperti Tai Tzu Ying atau Ratchanok Intanon, namun hakikat sebelum sakit dia pernah tumpaskan pemain No. 1 dunia (kini), Akane Yamaguchi dan pemain China, He Bingjiao menunjukkan dia mungkin ‘permata’ yang dipersiakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN