fbpx

MGB Berhad catat untung RM12.24 juta suku pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tan Sri Ir. Lim Hock San

PETALING JAYA – MGB Berhad, anak syarikat LBS Bina Group yang terbabit dalam penyelesaian pembinaan dan pembangunan hartanah, mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM12.24 juta bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2023.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, keuntungan tersebut meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak RM6.81 juta.

Katanya, secara keseluruhan, MGB mencatatkan pendapatan sebanyak RM177.76 juta bagi suku pertama dan ia dijana dari projek-projek seperti Residensi Bintang Bukit Jalil, Ritma Perdana dan Melodi Perdana di Alam Perdana yang dijangka siap dibina menjelang tahun kewangan 2023.

“Di samping itu, MGB turut berjaya memuktamadkan akaun projek yang telah selesai dengan kontraktor utama sekaligus menyumbang kepada keputusan kewangan.

“Segmen pembinaan dan perdagangan merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan MGB dengan RM168.64 juta manakala segmen Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) bagi tempoh kewangan semasa adalah RM13.4 juta berbanding pada suku tahunan sebelumnya sebanyak RM10.91 juta,”katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Hock San berkata, pengeluaran konkrit pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) turut mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh yang terhad dan tinggi.

Jelasnya, meskipun berlaku kenaikan harga bahan mentah dan kekurangan tenaga buruh, MGB terus merekodkan laporan margin yang lebih baik dan memberangsangkan dengan pendapatan kira-kira RM14.26 juta pada suku ini dan mempunyai baki lima buah projek sedang berjalan.

Antara kemudahan pratuang IBS yang dibangunkan oleh MGB.

“Peningkatan prestasi MGB turut disokong oleh segmen pembangunan hartanah dan pembinaan.

“Projek Idaman Melur, Cybersouth yang baru dilancarkan berjumlah 1,448 unit, serta perkembangan pesat pada Fasa 3 dan 4 Laman Bayu, Batu Pahat merupakan pemangkin kepada peningkatan segmen tersebut dan menyumbang kepada peningkatan pendapatan dengan jumlah RM9.12 juta berbanding RM4.58 juta pada suku yang sama, tahun sebelumnya.

“Segmen PBT bagi suku semasa merekodkan RM3.06 juta berbanding suku tahun sebelumnya RM670,000,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan 20 projek yang masih berjalan, MGB dijangka menjana pendapatan kira-kira RM4 bilion pada masa akan datang berdasarkan tempahan pembinaan tertunggak sebanyak RM1.78 bilion dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.36 bilion di bawah segmen pembangunan hartanah.

Beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan projek dan penyediaan unit-unit kediaman tepat pada masanya dengan cara menjimatkan kos di samping mengekalkan kualiti produk.

“MGB turut menjangkakan peningkatan semula projek pembinaan, justeru momentum dapat dikekalkan bagi memperoleh lebih banyak projek pembangunan Rumah Idaman MBI melalui kerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI).

“Kami optimis bahawa MGB berada pada kedudukan yang stabil dan mampu memberikan pulangan yang positif bagi baki tahun 2023 sungguhpun berhadapan cabaran kenaikan kadar faedah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI