fbpx

Jambatan Bagan Datuk jimatkan masa dari sejam ke 15 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nanta Linggi ketika meninjau pembinaan Jambatan Bagan Datuk, Hilir Perak yang dikongsi di laman Facebooknya hari ini.

PETALING JAYA – Pembinaan Jambatan Bagan Datuk di daerah Hilir Perak akan menjimatkan masa penduduk untuk ke pekan berdekatan apabila hanya mengambil kira-kira 15 minit berbanding laluan sebelum ini yang memakan masa hampir sejam.

Menteri Kerja Raya,Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jambatan yang menyeberangi Sungai Perak dengan panjang jambatan dianggarkan 1.5 kilometer (km) itu menghubungkan dua kawasan Parlimen iaitu Parlimen Bagan Datuk dan Parlimen Pasir Salak.

Jelasnya, ia memendekkan perjalanan ke pekan-pekan kecil dari kawasan sekitar Pekan Bagan Datuk, Selekoh, Sungai Sumun dan kampung-kampung lain yang berdekatan ke Kg.Kayan, Pekan Sri Iskandar, Bota, Parit, Changkat Lada di Perak Tengah, Sitiawan, Manjung dan Lumut.

“Sebelum ini, jarak perjalanan menggunakan Laluan FT069 dan FT005 akan mengambil masa lebih satu jam dan dengan jarak perjalanan melebihi 50 km.

“Dengan adanya Jambatan Bagan Datuk ini, perjalanan hanya mengambil masa kurang 15 minit sahaja.

“Bukan itu sahaja, saya percaya kesan limpah pembinaan jambatan ini juga akan membantu merancakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi kawasan setempat, disokong dengan rangkaian hubungan, aksesibiliti dan mobiliti,”tulisnya di laman Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata, pembinaan jambatan tersebut telah bermula pada 2017 kini sudahpun lengkap dan hanya menunggu masa untuk dibuka kepada orang awam dalam masa terdekat.

Tambahnya, jambatan itu juga bakal memanfaatkan lebih 70,000 penduduk sekitar termasuk pelajar di beberapa institusi pendidikan berdekatan seperti Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Asrama Penuh Bagan Datuk (Sabda) dan juga Politeknik Bagan Datuk.

“Syabas saya ucapkan kepada semua pihak terlibat, terutamanya Timbalan Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah berusaha keras dan bertungkus lumus bagi memastikan kejayaan pembinaan jambatan ini.

“Tidak dilupakan pasukan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya di atas kesungguhan dan kecekalan dalam memastikan pembinaan jambatan ini dapat disempurnakan.

“Semoga usaha dan kerja keras kita dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia Madani,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI