fbpx
Said Saiful diapit oleh sebahagian daripada tetamu dan pengedar yang hadir pada majlis pelancaran produk terbaharu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Choco Albab utamakan coklat premium untuk kepuasan pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Satu kelebihan buat pengeluar produk makanan snek dan manisan, syarikat Saudagar Asia Sdn. Bhd. (Saudagar Asia) yang terkenal dengan jenama Choco Albab menongkah laju dalam industri ini kerana minat dan keterujaan pengasasnya kepada produk coklat.

Kegemarannya menikmati makanan coklat membolehkan Said Saiful Fazli, 37, berkongsi minat dan rezeki bersama lebih daripada 15,000 pengedar masa kini untuk menawarkan produk keluarannya yang semakin bertambah segmennya.

Beliau yang memiliki pengalaman lebih daripada 14 tahun dalam bidang pemasaran terma­suk jualan langsung itu mula membangunkan empayar baharunya dalam bidang pembuatan coklat dalam era pandemik pada tahun 2021.

“Dahulu saya terkenal dalam perniagaan jualan langsung sebagai salah seorang top leader de­ngan memiliki ramai ejen di bawah bimbingan saya, jadi sa­yang sekiranya saya tidak meneruskan bakat dan kemahiran tersebut untuk membangunkan usahawan dalam perniagaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharunya, Unicorn Strawberry Chocolate di sini baru-baru ini.

Tambah anak muda yang ­berasal dari Kuantan, Pahang itu dirinya meminati bidang pengeluaran produk makanan berasaskan coklat kerana terdapat hanya kira-kira 10 peniaga dalam industri tersebut ekoran ia merupakan bisnes yang berisiko tinggi.

“Saya memilih coklat kerana ia bukan satu perniagaan bermusim dan ia merupakan produk makanan yang sentiasa evergreen sejak kita masih kecil lagi hinggalah kekal pada zaman sekarang. Coklat juga diminati oleh semua orang dan pelbagai peringkat umur serta bangsa.

“Malah coklat lebih mudah dijual kepada pelanggan berban­ding produk penjagaan kesihatan dan kosmetik yang mana ia memerlukan penerangan yang jelas kepada pelanggan tetapi ­akhirnya mereka enggan membeli,” katanya.

Unicorn Strawberry Chocolate adalah produk ke-11 syarikat dan ia kini tertumpu kepada pasaran kanak-kanak kerana saiznya dalam bentuk mini tab bersaiz 85 gram yang dijual pada harga RM8.90 seunit.

Pelanggan boleh membeli produk makanan yang dilimpahi dengan coklat premium strawberi, bijirin berkualiti tinggi dan juga minyak sayur itu secara bilangan yang disukai atau bilangan banyak dalam set kombo.

Sebelum ini, katanya, produk keluaran Saudagar Asia dijual dalam tab besar pada harga RM17 dan ada juga mencecah kepada RM22 bergantung kepada varian premiumnya.

Said Saiful menerangkan, tawaran produk baharu itu adalah untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahu membeli produk dalam saiz kecil, selain dipromosikan dengan gimik warna dan kartun serta sudu yang di dalamnya membuatkan si cilik berselera dan mudah menghabiskan makanan tersebut.

Tambah beliau, produk ber­kenaan dihasilkan melalui kajian dan pembangunan yang teliti selama tiga bulan bagi menghasilkan bahan makanan berkualiti dan enak.

Ditanya mengenai ketaksuban masyarakat terhadap amalan hidup sihat dengan hanya memilih makanan yang berkhasiat, Said Saiful berkata, tawaran dalam bentuk mini adalah salah satu usaha awal syarikat kearah memenuhi perubahan gaya hidup pelanggan.

“Coklat sentiasa disalah tafsir kerana ia menjurus kepada makanan tidak sihat kerana tahap gulanya yang tinggi.

“Bagaimanapun dengan mengambil coklat, ia akan dapat membantu melegakan ketegangan dan tekanan hidup yang dialami masyarakat masa kini,” ujarnya.

Said Saiful memberitahu, buat permulaan, jualan untuk Unicorn Strawberry Chocolate diunjurkan mencecah sehingga 100,000 tab mini dan nilai sasaran tersebut mampu dicapainya memandangkan keyakinan pe­langgan terhadap jenama Choco Albab serta komitmen yang tinggi daripada para pengedarnya.

Tambah beliau, kesan daripada perubahan sistem operasi perniagaan baharunya juga telah membuatkan pendapatan bulanan pengedar meningkat.

Ini disebabkan mereka tidak perlu menyimpan stok dan membuat penghantaran kepada pelanggan kerana akan diuruskan oleh pihak ibu pejabat.

“Ramai pengedar terdiri daripada kaum wanita dan mereka berniaga secara separuh masa serta mampu menjana pendapatan sehingga lima angka setiap bulan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN