fbpx

Kemarau tidak jejas bekalan makanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (kanan) sedang meninjau penghasilan ais di kilang air batu Nekmat di Tok Bali, Pasir Puteh hari ini. Foto oleh ROSMIZAN RESDI/ KOSMO!

PASIR PUTEH – Kemarau yang melanda negara ketika ini dijangka tidak akan menjejaskan bekalan makanan negara yang dikeluarkan oleh nelayan, penternak dan petani.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung masalah bekalan makanan yang dihasilkan di negara ini.

Menurutnya, bagaimanapun, pihak kementerian akan mengadakan pemantauan dan kajian mengenai situasi melibatkan bekalan makanan di seluruh negara dari masa ke semasa agar ia tidak menjejaskan semua pihak.

“Setakat ini, keadaan cuaca panas tidak memberi kesan dan bekalan makanan negara mencukupi kerana kita mempunyai simpanan stok malah harga barangan keperluan itu juga masih lagi stabil.

“Bagaimanapun, kita akan memantau dan memberi nasihat kepada semua yang terlibat supaya menjaga kesihatan dan memberi perlindungan ketika berada di lapangan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Jalinan Mesra Madani Bersama Nelayan Di Tok Bali di kilang air batu Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM600,000 bagi pembinaan tiga lokasi unjam di Kelantan untuk pembiakan ikan sekali gus membantu meningkatkan hasil tangkapan ikan nelayan tradisional di negeri ini.

Katanya, tiga lokasi berkenaan adalah di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat, Bachok dan Kota Bharu yang akan memberi manfaat kepada 3,785 nelayan.

“Selain itu, sebuah projek naik taraf dan baik pulih infrastruktur jeti di Kuala Kemasin, Bachok juga telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM200,000 yang akan memberi manfaat kepada 150 nelayan dan 80 buah bot yang berada di jeti tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI