fbpx
Gambar hiasan

Jangan jadikan rumah terbuka pesta bazir makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASALAH pembaziran makanan bukan perkara baharu, malah kita sering diberi pe­ringatan setiap kali tiba bulan Ramadan dan Aidilfitri.

Ini kerana, ketika bulan puasa, banyak aktiviti membeli-belah di bazar Ramadan yang kadangkala mengikut hawa nafsu.

Apabila tidak dihabiskan, akhirnya makanan yang dibeli tersebut masuk ke dalam tong sampah.

Selain itu, sambutan raya di Malaysia juga meriah dengan penganjuran rumah terbuka sama ada secara kecil-kecilan atau berskala besar.

Acapkali penulis melihat ada tetamu yang mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak, tetapi tidak dihabiskan.

Dengan situasi penduduk di Gaza yang sudah enam bulan kekurangan makanan akibat kekejaman Israel, sikap rakyat kita yang suka membazir masih tidak berubah.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader dilaporkan berkata, kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat 15 hingga 20 peratus sewaktu bulan Ramadan berbanding purata pada bulan-bulan lain.

Baru-baru ini, Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Datuk Ramli Mohd. Tahir pula memaklumkan, jumlah sampah domestik sehari sepanjang Syawal ini dijangka meningkat sebanyak 13 peratus berbanding hari-hari biasa di Selangor.

Ramli memberitahu, kutipan sampah domestik secara purata dianggarkan 6,000 sehingga 7,000 tan sehari pada bulan-bulan biasa.

Jika sikap membazir ini ti­dak diubah, dibimbangi akan memberi pelbagai kesan yang lebih besar kepada negara kita.

Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi Pertubuhan Ikram Malaysia, Mohammad Abdul Hamid berkata, pembaziran makanan boleh mengakibatkan kerugian ekonomi dan kerosakan kepada alam sekitar yang besar.

“Kitaran kerugian kos di pelbagai peringkat bermula dari sumber asal rantaian iaitu kebun atau ladang ternakan, seterusnya kos pemprosesan, pengangkutan, kos elektrik, memasak dan hingga ke perkhidmatan hidangan.

“Ini tidak termasuk kos pelupusan makanan yang juga memakan belanja yang besar oleh pihak kerajaan,” katanya.

Mohammad turut mengingatkan tentang jangka hayat tapak pelupusan di Malaysia yang semakin kritikal berikutan peningkatan jumlah sisa makanan mencecah 17,000 tan sehari.

“Jangka hayat pusat pelupusan menjadi semakin singkat dari lima tahun ke tiga tahun,” ujarnya.

Jelas beliau, dalam konteks alam sekitar, pembuangan sisa menghasilkan gas rumah hijau (GHG) yang menyumbang kepada 12 peratus daripada jumlah keseluruhan penghasilan GHG di Malaysia.

“Tapak pelupusan sisa merupakan punca terbesar pelepasan gas metana (47 peratus) yang merupakan gas perosak lapisan ozon utama.

“Data ini bukan sekadar angka, tetapi amaran yang memerlukan tindakan semua pihak untuk menoktahkan pembaziran. Langkah bagi mencegahnya memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak,” tegasnya.

Oleh itu, ubah sikap lebih-lebih lagi bagi umat Islam yang sejak kecil diajar tentang pembaziran yang merupakan amalan syaitan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN