fbpx

BN optimis tawan negeri majoriti Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) memotong kek sempena ulang tahun kelahiran UMNO yang ke-77 pada Majlis Rumah Terbuka Aildilfitri UMNO Perlis di Dewan Sivik Arau, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

ARAU – Barisan Nasional (BN) optimis mampu menawan negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti-parti komponen dalam gabungan itu kini bersedia selepas memperbaiki kelemahan-kelemahan dalam menghadapi PRN tidak lama lagi.

“Kita telah segera susun bersama rakan lain dan kita telah berada di satu tahap memperbaiki kelemahan lalu.

“Saya juga yakin kesilapan pengundi-pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu dapat diperbaiki kerana disitu terdapat penyesalan apabila berlaku pertukaran kerajaan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Perlis di sini hari ini.

Tambahnya lagi, beliau yakin trend ini telah mengubah sokongan dan keyakinan tinggi kepada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebih stabil.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai permohonan MIC mahukan bilangan kerusi yang munasabah, Ahmad Zahid berkata, mereka telah melakukan perbincangan dengan kepimpinan parti lain dalam komponen BN semalam.

“Saya telah memberi tanggungjawab kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi mengadakan perbincangan bersama parti-parti kompenan dalam melancarkan proses rundingan tersebut.

“Setelah rundingan berkenaan selesai di peringkat negeri, perkara itu kemudiannya akan dibawa untuk pertimbangan Dewan Tertinggi BN dan keputusan akhir berhubung penetapan kerusi itu akan diputuskan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Pengerusi BN,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI