JARI-JEMARI wanita tua berusia 108 tahun itu ligat melompat-lompat atas papan kekunci hitam putih sebuah piano.
Sambil menggerakkan jari ke arah kanan dan kiri, lenggok badan wanita Perancis itu turut bergoyang mengikut melodi muzik sebuah lagu Inggeris klasik yang dimainkannya.
Sesekali ekor matanya memandang ke arah awan yang dilihat dari beranda rumahnya di tingkat 14, sebuah apartmen berhampiran Menara Eiffel, Paris.
Beritahu Collette Maze, memandang ke awan menjadi kaedah paling efektif baginya untuk mendapatkan sumber inspirasi berkenaan muzik dan piano.
“Bagi saya, muzik dan piano adalah lebih penting daripada makanan dan segalanya. Ini makanan saya, makanan saya untuk semangat dan untuk hati,” katanya.
Kalau dahulu, dia aktif bermain piano di tempat-tempat kebudayaan popular di sekitar Paris dengan memenuhi pelbagai undangan rasmi, namun ketika pandemik melanda dunia bermula hujung 2019, dia hanya bermain piano di rumah sahaja.

Meskipun lebih dua tahun tidak dapat berbuat apa-apa dan ‘hilang’ punca pendapatan, itu nyata sekali tidak menghalang Maze yang dilahirkan pada tahun 1914 itu daripada merakam album keenamnya sekitar April lalu. Album tersebut diberi judul 108 Years of Piano (108 Tahun Bersama Piano).
Maze baru-baru ini mendapat liputan media sebagai seorang pemain piano lebih seabad. Hampir seluruh hayatnya dia telah bermain dan menjadi guru piano, namun hanya pada usianya 100 tahun barulah dia mengumpul peminat apabila mula berkongsi kemahirannya memainkan instrumen itu di Facebook.
Maze yang mula memetik piano sejak berusia empat tahun dibesarkan dalam keluarga sederhana. Bapanya bekerja menguruskan sebuah kilang pembuatan baja, manakala ibunya pula hanyalah seorang suri rumah.
“Kalau ikutkan minat bermain piano diasuh sejak dari kecil daripada ibu dan bapa saya.
“Semasa saya kecil, saya menderita asma dan ibu saya kerap memainkan biola bersama cikgu piano saya. Ia menenangkan saya. Piano adalah hidup saya, sahabat saya,” katanya.
Kemudian, pada usia remaja, dia diterima masuk ke Paris Ecole Normale De Musique di Paris, selepas keluarganya berpindah ke kota tersebut.
“Di situlah, saya mula mengikuti pembelajaran formal piano dan aktiviti luar bilik darjah lain seperti gimnastik dan yoga. Daripada bermula hanya sebagai pemain piano pengiring atau sokongan, sampailah saya diberi kepercayaan menjadi pemain piano utama dan bergelar profesional sekali gus menjadi sumber pendapatan sepanjang hayat saya,” katanya.

Beritahunya, ketika menjadi pemain piano profesional, dia menghabiskan masa berlatih empat jam sehari tanpa pernah ada rasa jemu.
Hasil usaha dan penat lelahnya itu, dia berjaya merakamkan album pertama pada tahun 1998 sekali gus dilancarkan di pasaran sekitar tiga tahun selepas itu.
Album sulung tersebut mendapat sentuhan komposer terkenal Perancis, Erik Satie dan Claude Debussy yang merupakan antara insan terawal mengesan bakat Maze.
Aktif di Facebook sejak beberapa tahun lalu, Maze kini menarik ribuan peminat untuk lebih mendekatinya.
Walaupun berusia lebih seabad, namun bakat semula jadi dan kelincahannya bermain piano dengan mempersembahkan pelbagai jenis genre muzik kalah orang muda.
“Umur saya? Saya tentulah masih muda. Umur bukanlah sesuatu yang saya pentingkan. Ada orang yang sentiasa muda, kagum dengan segala-galanya, dan ada juga orang yang tidak mengambil berat dan tidak pernah menyukai apapun dalam hidup mereka termasuk pasangan. Boleh anda bayangkan?” ujarnya tersenyum bila ramai bertanyakan tentang umurnya.
Bercakap tentang rahsia panjang umurnya, Maze berkata, selain menghayati irama piano, dia juga gemar menari.
“Saya banyak menari. Saya perlu rasakan setiap otot saya, abdomen, paha, lengan, semuanya mesti hidup,” katanya.
Maze tidak pernah berkahwin. Selepas Perang Dunia Kedua dia telah jatuh cinta dengan seorang lelaki yang merupakan suami orang dan hasil hubungan itu dia melahirkan seorang zuriat lelaki. Mereka tidak boleh berkahwin dan Maze hidup sebagai ibu tunggal.
Bagi anak tunggalnya, Fabrice Maze, 79, ibunya adalah sumber inspirasi untuk orang lain.
“Bayangkan pada usia 108 tahun, anda boleh berada pada prestasi hebat jika anda mempunyai semangat seperti dia. Tiada yang mustahil.
“Dia masih ingat bunyi Big Bertha iaitu bunyi meriam besar yang digunakan tentera Jerman ketika Perang Dunia Pertama dan kebanyakan ingatannya berkisar pada alat muzik kesayangannya iaitu piano. Dia memilih untuk jadi ahli muzik, bukan suri rumah, oleh kerana itu dia memilih untuk ‘berkahwin’ dengan piano,” ujarnya.
















