fbpx

Menteri minta UiTM pastikan kebocoran data tidak berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bergambar selepas menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Dermasiswa kepada Mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di Bangunan Canselori UPNM, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) diminta memastikan kebocoran data lebih 11,000 pemohon universiti berkenaan tidak berulang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau juga telah meminta pengurusan UiTM mengambil tindakan segera terhadap insiden itu.

“Kita sekarang berada dalam zaman teknologi maklumat (IT) sebab itu ia termasuk dalam soal keselamatan siber dan universiti turut menawarkan program keselamatan siber.

“Sebab itu kita kena faham program-program seumpama ini kerana kita hidup dalam zaman banyak data dan macam-macam boleh berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.

Ketibaan beliau disambut oleh Naib Canselor, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan pengurusan tertinggi UPNM.

Beliau turut menyampaikan sumbangan komputer riba kepada 10 pelajar dan bantuan dermasiswa RM1,000 juga kepada 10 pelajar universiti berkenaan.

Terdahulu, Mohamed Khaled berkata, UPNM yang memiliki kira-kira 4,800 pelajar wajar memastikan ia kekal relevan dan berpotensi menyumbang kepada kemajuan serta kejayaan negara.

Menurut beliau, ia terutama dalam soal-soal membekal modal insan dan bakat yang ada kaitan bukan sahaja pertahanan, tetapi juga keselamatan negara.

“Seperti kita sedia maklum dunia hari ini berdepan pelbagai cabaran dan Malaysia tidak terkecuali perlu menanganinya dan banyak cabaran itu berkisar soal keselamatan.

“Kita minta universiti memikirkan perancangan jangka masa panjang bagaimana benar-benar mempunyai hala tuju yang membantu negara dalam aspek keselamatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI