PETALING JAYA – Seorang kontraktor Kelas F mendedahkan setiap projek yang diperoleh syarikat konsesi akan ditender semula dengan mengurangkan jumlah kos sebenar bagi membolehkan mereka mengaut keuntungan atas angin.
Khairol, 50, berkata, tindakan itu telah mengakibatkan ramai kontraktor tidak boleh mencari makan ketika ini.
Katanya, sebagai contoh, jika kerja menurap jalan bernilai RM32 untuk satu meter persegi, konsesi hanya beri kontraktor Kelas F RM19 hingga RM21 sahaja.
“Kontraktor keluar modal untuk beli peralatan pembinaan dan gaji pekerja, manakala syarikat konsesi dapat untung dengan hanya duduk goyang kaki.
“Kewujudan konsesi lebih banyak menyusahkan kontraktor kecil. Jika projek diambil terus daripada kerajaan, margin keuntungan kami akan bertambah hingga 25 peratus dan mampu bernafas semula,” katanya yang berpengalaman selama 20 tahun.
Menurut Khairol, mereka mendapat keuntungan hanya lima peratus untuk projek yang diperoleh menerusi konsesi.
Seorang lagi kontraktor, Azhar, 47, berkata, syarikat konsesi telah menyebabkan banyak kontraktor Kelas F ‘tenat’.
“Semua projek mereka (syarikat konsesi) nak kawal, jadi macam mana kami nak cari makan? Untung semakin berkurang kadang-kadang lepas bayar gaji pekerja dan bayar hutang pembekal sahaja.
“Nak tak nak, kami kena ambil juga, sebab ini periuk nasi kami,” katanya.
















