fbpx

Syamsul, Sarah 2 kali cerai? Peguam belum terima pengesahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERI Sarah dan Syamsul, kedua-dua tidak hadir semasa sebutan kes nusyuz di mahkamah hari ini.

KUALA LUMPUR – Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili pelakon Puteri Sarah Liyana menegaskan masih belum menerima makluman mengenai dakwaan kononnya sudah dua kali Syamsul Yusof melafazkan talak terhadap anak guamnya seperti yang tular sebelum ini.

Menurut Akberdin, dia menyedari kewujudan isu tersebut daripada media sosial namun sehingga kini tidak menerima sebarang arahan daripada Puteri Sarah.

“Isu (lafaz talak dua kali) ini tiba-tiba timbul dan kami sebagai peguam akan bertindak mengikut arahan anak guam.

“Saya tidak tahu kesahihannya dan jika benar wujud, kami akan membawa ke mahkamah.

“Setakat ini saya tiada arahan dan tak mahu komen. Jika nak tahu benda itu wujud atau tidak, kita tunggu sama ada tindakan daripada pihak mahkamah,” katanya kepada Kosmo! Online di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini.

PEGUAN syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah (kanan) bersama peguam syarie, Azmi Mohd Rais (kiri) yang mewakili Syamsul Yusof bercakap pada pemberita selepas sebutan semula tuntutan nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, hari ini -FARIZ RUSADIO

Tambah Akberdin, dia hanya mengetahui isu tersebut daripada media sosial dan bukannya daripada anak guamnya sendiri.

“Saya tahu berita ini daripada media sosial.

“Kalau benar, kena serahkan kepada pihak mahkamah sebab kita tak boleh main-main isu cerai,” ujarnya.

Sementara itu, menjawab dakwaan Puteri Sarah dikenakan perintah injuksi bagi menghalang mengeluarkan sebarang kenyataan dalam media sosial, Akberdin menjelaskan tidak mendapat sebarang arahan daripada anak guam setakat ini.

“Saya pun dengar juga tetapi setakat ini tiada apa-apa arahan daripada pihak anak guam.

“Kita perlu tunggu. Sekiranya ada, kita akan dapat dokumen,” jelasnya.

Minggu lalu tular mengenai dakwaan Puteri Sarah pernah diceraikan dua kali oleh suaminya.

Menurut laporan, terdapat sumber yang mengatakan kedua-dua lafaz talak pernah direkodkan di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Mengimbau semula, pada 18 April lalu, Syamsul dan Puteri Sarah gagal menemui kata sepakat sekaligus proses lafaz cerai yang sepatutnya berlangsung pada hari tersebut tergangguh.

Antara sebab Syamsul menolak untuk melafaz cerai ialah keengganan Puteri Sarah menarik saman terhadap madunya, Ira Kazar dan beberapa ahli keluarga lain.

Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.

Aktres itu berkata, tiada perkara yang perlu dirunding atau dibincangkan lagi memandangkan hatinya telah tertutup untuk berdamai selepas nekad mahu bercerai.

Sebelum itu, pada 7 Mac lalu, pasangan tersebut diperintahkan oleh mahkamah sama, supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie itu memerintahkan demikian selepas keengganan Syamsul untuk menceraikan isteri pertamanya itu.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.

Antara alasan dikemukakan Puteri Sarah selaku plaintif untuk bercerai ialah sudah tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Syamsul pula selaku defendan sebelum ini memaklumkan enggan menceraikan isteri pertamanya kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang terhadap Puteri Sarah.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4,.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI