fbpx

Kilang pemprosesan mineral guna model BTSL di Ipoh beroperasi 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (enam dari kiri) melakukan gimik pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Mineral Secara BTSL oleh PKNPk dengan usaha sama Jinjing Silicon Technology Sdn. Bhd. di Chemor, Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Silver Valley Technology Park (SVTP) di sini bakal menyaksikan pembinaan kilang pemprosesan mineral menggunakan model Built-To-Suit and Lease (BTSL) dengan kos pembinaan bernilai RM40 juta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kilang pemprosesan yang dibina menggunakan model itu merupakan yang pertama di rantau ini dan ia dijangka mula beroperasi pada tahun hadapan.

“Pembukaan kilang pemprosesan mineral oleh syarikat Jinjing Silicon Technology Sdn. Bhd. itu menandakan permulaan bagi inisiatif pembangunan di SVTP dan ia akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri Perak.

“Kilang ini akan memproses mineral secara komprehensif, merangkumi proses pertengahan dan hiliran. Ia dijangka menghasilkan pengeluaran sebanyak sejuta tan pasir silika putih setahun, 100,000 tan pasir kuartza berketulenan tinggi serta penghasilan bahan silicon untuk digunakan bagi industri tenaga boleh baharu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pecah Tanah Kilang Pemprosesan Mineral Secara BTSL oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan usaha sama Jinjing Silicon Technology Sdn. Bhd. di Chemor di sini.

Beliau berkata, kilang tersebut dijangka memulakan operasi pada suku tahun ketiga 2024 yang mana ia bakal menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri ini.

Menurut Saarani, pelaburan daripada pihak Jinjing Silicon Technology Sdn. Bhd. yang bernilai RM100 juta ke dalam industri mineral itu bakal membentuk momentum baharu untuk membangunkan aktiviti pertengahan dan hiliran serta merevolusikan nilai rantaian secara keseluruhan.

“Kelancaran proses transformasi bahan mentah kepada separuh siap, pengoptimuman logistik dan pengukuhan kapasiti pergudangan yang didorong oleh sumber mineral yang banyak terutamanya silika bakal menarik pelabur-pelabur di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Sejajar dengan itu, PKNPk komited menyediakan persekitaran kondusif dan kemudahan terkini, perkhidmatan tambah nilai, sokongan infrastruktur dan kerjasama strategik bersama pemain-pemain utama industri bagi mengangkat martabat negeri Perak ke mercu kemajuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`. This does not appear to be a valid RSS or Atom feed.