fbpx

Tidak disunat laksana solat sunat khusuf Gerhana Bulan Penumbra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Info fasa Gerhana Bulan Penumbra yang akan bermula malam ini.

PUTRAJAYA – Umat Islam di negara ini tidak disunatkan melaksanakan solat sunat Khusuf susulan kejadian Gerhana Bulan Penumbra kerana perkara itu tidak termasuk situasi disyariatkan Islam.

Perkara berkenaan diperjelaskan Pakar Falak Tanah Air, Shahrin Ahmad, yang turut merujuk isu kekeliruan itu dengan menghubungi beberapa tokoh agama terkenal tempatan berhubung perkara berkenaan.

“Saya ada bertanya guru falak, Al-Fadhil Ustaz Faizal dari Unit Falak Jabatan Mufti Negeri Perak, yang mengesahkan tidak perlu kerana bulan cuma dalam fasa Penumbra,” katanya melalui hantaran di laman sesawang rasminya Falak Online, di sini.

Menerusi hantaran itu juga, beliau turut mengakui masih ada yang tidak mengetahui bahawa Gerhana Penumbra adalah tidak sama dengan fasa Umbra.

Lewat malam ini, penduduk Malaysia berpeluang menyaksikan Gerhana Bulan Penumbra dengan jelas di seluruh negara bermula pukul 11.14 malam ini sehingga 3.33 pagi keesokan harinya.

Mengulas lanjut, Shahrin yang juga Ahli Jawatankuasa Falak Kerajaan Selangor berkata, dia turut merujuk isu berkenaan kepada seorang Pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Ahmad Irfan, menyatakan solat sunat khusuf cuma disunatkan untuk tempat yang lihat gerhana penuh atau separa sahaja.

Sementara itu, hantaran infografik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) sebelum ini turut memaklumkan tiada Solat Sunat Gerhana jika hanya melibatkan fasa Penumbra.

Agensi tersebut bahkan berkata, Gerhana Bulan Penumbra masuk dalam kawasan bayang-bayang bumi sahaja yang memang tidak gelap dan hampir mustahil dilihat mata kasar.

Keadaan kesan akibat penumbra itu akan menyaksikan warna permukaan bulan cuma akan mengalami sedikit perubahan daripada imej putih bersinar kepada putih suram sahaja.

Keadaan berkenaan disebabkan bulan itu berada dalam kedudukan hampir sejajar dengan bumi dan matahari tetapi belum lagi memasuki kawasan umbra bumi yang lebih gelap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI