fbpx

Rahsiakan penyakit kerana takut hilang kerja, pedihnya- Fazley Yaakob

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZLEY Yaakob berasa sedih dengan situasi dalam sesetengah anak seni yang terpaksa pura-pura sihat di set lakonan hanya kerana tidak mahu hilang sumber pendapatan.

PETALING JAYA – “Terpaksa rahsiakan penyakit kerana takut hilang kerja. Terlalu pedih ayat ini untuk ditelan.”

Demikian luahan selebriti, Datuk Fazley Yaakob berhubung penyakit jantung Allahyarham Ridzuan Hashim yang dirahsiakan kepada akibat kerisauan kehilangan tawaran lakonan sebagai sumber pendapatan utama.

Fazley atau nama lengkapnya Ahmad Fadzli Yaakob menegaskan sikap skeptikal produksi terhadap pelakon yang sakit mengakibatkan situasi seperti ini berlaku.

“Ini harus dihentikan! Janganlah sampai pemergian mengejut rakan kita berlaku lagi atas alasan sama seperti rahsiakan penyakit kerana risau tidak dapat tawaran kerja.

“Mencari sesuap nasi tidak seharusnya membebankan mereka yang sememangnya uzur, apatah lagi jika kegiatan tersebut merupakan mata pencarian utama seseorang.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka yang memberi ‘job’ kerja secara rahsia memberikan amaran enggan memberikan pekerjaan jika pelakon ada penyakit.

“Hal demikian kerana risau nanti menyusahkan semua orang,” katanya dalam hantaran Instagram.

Fazley yang juga cef selebriti turut mempersoalkan pemikiran kolot sesetengah pihak sehingga selebriti tanah air terpaksa pura-pura sihat demi sesuap nasi.

“Adakah ‘pemberi rezeki’ kini menjadi terlalu jumud pemikiran sehingga ramai sahabat seindustri terpaksa buat-buat sihat agar terus mendapat rezeki halal?

“Kalian tidak rasakah ini sangat memedihkan dan menyedihkan?,” luah Fazley.

Semalam, negara dikejutkan dengan berita pemergian selebriti tanah air Ridzuan Hashim yang meninggal dunia pada usia 62 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Usai proses pengebumian, anak lelaki tunggal Allahyarham, Muhammad Dhanial mendedahkan bahawa bapanya sudah tiga tahun menderita penyakit jantung.

Allahyarham bagaimanapun tidak menghebahkan berita tersebut kerana bimbang kehilangan tawaran kerja yang menjadi sumber pendapatan selama ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI