fbpx

Proton jual 9,415 unit kenderaan bulan April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MODEL SUV X50 mengekalkan momentumnya sebagai kenderaan terlaris di pasaran tempatan.

PETALING JAYA – Pengeluar kereta nasional, Proton meneruskan permulaan kukuhnya bagi tahun 2023 dengan mencatatkan pertumbuhan jualan tahun ke tahun untuk bulan keempat berturut-turut. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, jalannya telah meningkat sebanyak 6.5 peratus menjadikan sejumlah 9, 415 unit kenderaan terjual di pasaran domestik dan eksport berbanding bulan April 2022 yang mana tempoh jualan dan pengeluaran yang dipendekkan berikutan tempoh cuti Hari Raya Aidilfitri. 

Menurut beliau, ini menjadikan jumlah jualan sebanyak 49,702 unit untuk empat bulan pertama tahun 2023, bersamaan dengan pertumbuhan sebanyak 39.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Proton merupakan satu-satunya jenama automotif di lima  tangga teratas jadual jualan yang mencapai perumbuhan jualan pada bulan April. 

Roslan

“Oleh itu, pegangan pasaran bagi bulan itu dianggarkan 20.4 peratus mengekalkan tempat kedua dalam jadual jualan automotif nasional, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan. 

 

Roslan menerangkan, tiga model Proton terus menjadi peneraju segmen keseluruhan untuk tahun 2023 membuktikan keupayaan jenama untuk mengekalkan permintaan semasa bulan jualan yang perlahan. 

Proton X50 kekal sebagai SUV segmen B terlaris dengan 2,644 unit diserahkan pada bulan April dan kekal sebagai SUV terlaris keseluruhan di Malaysia.

Satu lagi peneraju segmen keseluruhan adalah Proton Persona, yang mencapai 1,263 penyerahan pada bulan lepas yang membolehkannya kekal sebagai peneraju keseluruhan bagi pasaran sedan segmen B selepas empat bulan. 

“Akhirnya, dengan 465 unit terjual, Proton Exora bukan sahaja mencapai bulan jualan terbaiknya untuk tahun ini, tetapi juga kekal sebagai peneraju jualan bagi MPV segmen C dengan 1,559 unit terjual setakat ini,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi model Proton yang lain, Proton Saga masih mendahului semua model dari segi jualan dengan 3,949 unit diserahkan, menjadikan jumlah jualan sebanyak 21,395 unit untuk tahun 2023, yang turut meletakkannya di tempat kedua untuk jualan sedan segmen A. 

Proton X70 dan Proton Iriz pula mencapai 756 unit dan 338 unit, meletakkan mereka di tempat ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing.

“Disebabkan cuti hari raya yang menjejaskan aktiviti pengeluaran dan jualan untuk keseluruhan industri automotif serta penamatan penyerahan pesanan tempoh bebas cukai, kami meramalkan jumlah jualan yang lebih rendah untuk bulan April. 

“Oleh itu, kami amat berterima kasih kepada pelanggan  kerana membantu kami menjadi satu-satunya jenama yang mencapai pertumbuhan jualan berbanding bulan April 2022.

“Dengan pelancaran Proton X90 secara rasmi oleh Perdana Menteri pada 7 Mei, syarikat akan mempunyai tiga model SUV untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam segmen itu serta model pertamanya dalam pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) tidak lama lagi. 

“Ini akan membantu membentuk asas yang baik untuk penawaran model masa depan kami dan memberikan pengalaman yang tidak ternilai kepada rangkaian pengedar Proton dalam aspek menjual dan menservis kenderaan ini,”  terang beliau. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI