fbpx

PNB umum persaraan Tun Arifin sebagai Pengerusi Kumpulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tun Arifin.

PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan persaraan Tun Arifin Zakaria sebagai Pengerusi Kumpulan PNB dan Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) berkuat kuasa esok iaitu, 6 Mei.

Persaraan tersebut dibuat selepas Arifin menamatkan penggal perkhidmatannya selama dua tahun.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata, Arifin yang dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan pada 2021, telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan tadbir urus syarikat.

“Di bawah kepimpinan beliau, PNB telah membangunkan rangka kerja dalaman bagi menilai pengarah dan ketua eksekutif, serta mentauliahkan kakitangan kritikal syarikat pelaburannya bagi memastikan kekuatan Lembaga Pengarah masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, Arifin turut menerajui dan membimbing PNB dalam inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Pada April 2022, PNB melancarkan Rangka Kerja Kelestarian PNB, yang bertujuan untuk menyampaikan manfaat bukan sahaja kepada pihak berkepentingannya tetapi juga untuk pasaran yang lebih luas dan negara.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tun Arifin bagi pihak Lembaga Pengarah dan Warga PNB di atas perkhidmatan dan kepimpinan cemerlang beliau sejak dua tahun lalu kepada pertumbuhan PNB, ASNB, dan Kumpulan Syarikat PNB.

“Pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan awam amat berharga, dan kami berterima kasih atas legasi yang beliau tinggalkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya pelantikan Pengerusi Kumpulan PNB yang baharu akan dibuat dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI