fbpx

Teruknya bahana terlajak kata secara live

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keratan media yang melaporkan tular mengenai Hattan baru-baru ini.

Anggap sahaja apa yang berlaku semasa temu bual perkongsian mengenang pemergian Allahyarham Mael XPDC antara Awani dan rockers otai, Datuk Hattan sebagai salah faham, silap percaturan dan selisih pandangan pada ketika tak kena keadaan.

Berbondong-bondong kata keji, bergumpal-gumpal pandangan dan bergulung-gulung perdebatan saling menyalahkan, siapa betul siapa serong, siapa naif siapa pula yang biadab.
Masing-masing mempertahankan pendirian ikut acuan, pengetahuan dan keperibadian.

Menjadi pemerhati, kita tak boleh dihalang daripada berkata-kata tapi tak berhak menghukum sesiapa. Setiap orang ada bodoh dan bijaksana.

Sebab itulah orang kata, jika kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga, jika sudah merancang bertanyakan sesuatu, bersedialah untuk menelan, setidak-tidaknya jawapan yang dituntut sudah terjangka dalam fikiran.

Serkap jarang adakalanya membawa tuah, malang­nya jika tertelan tak sempat diludah, tercekik di kerongkong, ternganga mulut merasa padah.

Hattan sangat dikenali dalam kalangan orang industri dan pengamal media sezaman bahkan generasi baharu. Membuka mulut di hadapannya, jika malas bertegang leher, biarkan sahaja beliau bertahan dengan pendekatannya, usah bergaduh nanti panjang pula cerita jika tahu tak cukup masa.

Bukan hendak menyalah atau mempertahankan, masing-masing buat silap. Hattan diundang secara panggilan bukan untuk mempersoalkan atau mengacah pengetahuan lawan berbicara (penyampai berita), namun sudah kebiasaannya begitu, apa yang berlaku itulah Hattan. Barangkali penerbitan terlepas pandang.

Jika sudah ada sesi penerangan, soalan dan perse­diaan, di pihak Hattan mahupun penerbitan, sepatutnya perkara yang langgar ‘kepantangan’ tidak berlaku.

Ini juga bukan soal tak buat homework, tetapi ini soal kepantangan. Kalau tak tahu jangan buat-buat pandai, orang garang macam Hattan ibarat singa kelaparan, silap langkah kecundang, kena gaya, jinak macam kucing persian.

Jangan bohong, setiap orang ada ego, artis apatah lagi. Sengaja mahu saya kongsikan satu cerita, ini bukan soal tak buat homework’ gara-gara hanya salah faham tentang tempat parkir, seorang bintang yang cukup dihormati boleh buat pusingan ‘U’ pulang ke rumah meninggalkan janji walhal telah sampai di lokasi yang dipersetujui untuk sesi fotografi. Itulah dunia artis yang khalayak ramai tidak tahu.

Adakala berurusan dengan artis lebih sulit berban­ding menteri, adakala juga berurusan dengan artis lebih mudah berbanding menerusi pihak ketiga. Itulah dunia hiburan, dunia penuh mata-mata, serba mudah jadi bualan, dunia terbuka yan setiap orang boleh masuk ambil bahagian, baik memuji, mengecam mahupun berlawan-lawan menunjukkan ‘keakuan’.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya., Dalam soal Hattan terlajak berbahasa, netizen dan khalayak pun cukup-cukuplah menjatuhkan hukum. Cukuplah dengan kecaman dan kutukan yang ditelan lelaki berusia 59 tahun itu, semoga jadi iktibar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI