fbpx

Sudan di ambang kemusnahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai melarikan diri dari kawasan kejiranan mereka di tengah-tengah pertempuran di Khartoum pada 19 April lalu. - AFP

KHARTOUM – Pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan kumpulan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) memasuki minggu ketiga dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran bahawa negara itu kini berada di ambang kemusnahan.

Lebih 500 orang terbunuh sejak pertempuran meletus pada 15 April lalu antara pasukan tentera Sudan pimpinan Abdel Fattah al-Burhan dan bekas penolongnya, Mohamed Hamdan Daglo yang mengetuai pasukan RSF.

Kedua-dua pihak telah bersetuju dengan beberapa gencatan senjata, namun tiada yang dipatuhi ketika bilangan orang awam yang maut terus meningkat manakala huru-hara dan pelanggaran undang-undang semakin mencengkam Khartoum.

Ramai penduduk bandar ibu kota Sudan yang didiami lima juta orang itu kini terkurung di dalam rumah mereka tanpa makanan, air serta bekalan elektrik.

Berpuluh-puluh ribu penduduk pula melarikan diri dari lokasi pertempuran di Sudan atau memulakan perjalanan ke negara jiran seperti Chad, Mesir, Sudan Selatan atau Ethiopia.

“Mereka (pihak yang bertempur) tidak mempunyai hak untuk terus berjuang mendapatkan kuasa ketika negara sedang musnah,” kata Guterres kepada stesen televisyen Arab Saudi, Al Arabiya.

Gencatan senjata terbaharu selama tiga hari yang sepatutnya tamat tengah malam tadi dipersetujui pada Khamis lalu selepas Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi, Kesatuan Afrika dan PBB menjadi pengantara.

“Sekali lagi kami terbangun daripada tidur apabila terdengar bunyi jet-jet pejuang, senjata dan letupan di seluruh kawasan kejiranan kami,” kata seorang saksi di selatan Khartoum kepada AFP.

Seorang lagi penduduk berkata, pertempuran berterusan sejak awal pagi terutama di sekitar ibu pejabat stesen penyiaran negara berkenaan di bandar Omdurman.

Saksi lain melaporkan terdapat tembakan mesingan merentasi Sungai Nil Biru di Khartoum Utara manakala bunyi tembakan turut kedengaran di Burri, timur bandar raya itu.

Asap berkepul-kepul turut menjulang naik ke udara di kawasan sekitar lapangan terbang Khartoum.

Ketika pertempuran, Abdel Fattah menyebut RSF sebagai militia yang mahu memusnahkan Sudan manakala Mohamed Hamdan menggelarnya sebagai ‘ketua pengkhianat tentera’.

Setakat ini, keganasan itu telah membunuh sekurang-kurangnya 528 orang dan mencederakan 4,599 yang lain, kata Kementerian Kesihatan Sudan kelmarin, namun angka itu mungkin tidak lengkap.

Selain itu, kira-kira 75,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran di Khartoum dan negeri Kordofan Utara serta wilayah barat Darfur, kata PBB.

Bekas perdana menteri Sudan, Abdalla Hamdok memberi amaran bahawa konflik itu akan bertukar menjadi satu daripada perang saudara terburuk sekiranya tidak dihentikan dengan segera.

“Ia akan menjadi ‘mimpi buruk’ kepada seluruh dunia,” katanya. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI