fbpx

Warga emas maut balik rombongan merisik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan dua buah kenderaan yang terbabit dalam nahas di Kilometer 26, Jalan Bahau – Kemayan, dekat Lui Barat, Negeri Sembilan petang tadi. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

JEMPOL – Tiga maut termasuk seorang pesara Felda dalam nahas dua buah kenderaan di Kilometer 26, Jalan Bahau – Kemayan, dekat Lui Barat, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.57 petang itu, mangsa, Sallehuddin Nong, 63, beralamat di Jengka, Pahang, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua wanita, Tee Tai En, 29, dan Tin Siew Kwan, 59, juga terkorban.

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, kenderaan yang terbabit dalam kemalangan ialah Perodua Myvi yang datangnya dari arah Bandar Seri Jempol menghala ke Sungai Lui, manakala, Honda CRV datang dari arah Sungai Lui hendak ke Bandar Seri Jempol.

“Siasatan awal mendapati, apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai Perodua Myvi telah hilang kawalan dan masuk ke laluan Honda CRV sebelum bertembung dengan Honda CRV berkenaan di bahagian hadapan yang sedang bergerak terus.

“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi serta penumpang belakang Honda CRV telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Chang Hook, pemandu kereta Honda CRV yang merupakan anak mangsa yang maut, Siti Nuraini Farahiyah Sallehuddin, 34, mengalami kecederaan di bahagian muka dan dada, manakala, ibunya, Shariffah Nuriah Syed Abdullah, 55, mengalami kecederaan di bahagian dada.

Katanya, seorang lagi penumpang belakang kereta Perodua Myvi iaitu seorang lelaki, Tin Siew Kwan, 65, mengalami luka di bahagian tangan.

“Punca kemalangan dipercayai disebabkan Perodua Myvi telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan. Bagaimanapun kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI