fbpx

Perabot baharu ceriakan Syawal Wani Syaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raya tahun ini, Wani terpaksa membeli perabot baharu kerana kelengkapan rumah musnah ditenggelami banjir.

KEJADIAN banjir besar yang melanda di beberapa daerah di Johor pada Mac lalu turut meninggalkan kesan mendalan buat penyanyi Wani Syaz apabila kediaman milik keluarganya di Batu Pahat terjejas teruk.

Dalam kejadian tersebut, paras air sehingga punggung yang menerjang kediaman keluarga Wani mengakibatkan lebih daripada 50 peratus perabot serta kelengkapan rumah musnah dan tidak boleh diselamatkan.

Wani yang memang menetap di Batu Pahat tidak menyangka kediaman keluarganya akan dinaiki air banjir kerana kedudukan di kawasan agak tinggi.

“Saya memang menetap di Batu Pahat. Ketika banjir, saya tiada di rumah kerana menguruskan kedai makan yang terletak di pekan. Jadi, tak sempat untuk balik untuk selamatkan barang-barang di rumah.

“Selama dua minggu juga rumah digenangi air sehingga paras paha. Banyak perabot yang rosak dan terpaksa dibuang,” katanya.

Menganggap musibah yang melanda sebagai dugaan menguji diri, lebih-lebih lagi ketika menghampiri bulan mulia, Wani bersyukur kesemua ahli keluarganya terselamat.

Menyentuh tentang sambutan Aidilfitri pada tahun ini, mahu tidak mahu, penyanyi berusia 25 tahun perlu membeli perabot dan kelengkapan rumah baharu.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Nursyazwani Selamat itu menganggap itulah rezeki buat keluarganya apabila menyambut lebaran dengan kelengkapan rumah serba baharu.

“Nampak gayanya raya tahun ini semua perabot baharu. Nak buat macam mana, perabot sedia ada sudah musnah dalam banjir.

WANI bersyukur apabila semua ahli keluarganya terselamat dalam kejadian banjir besar di Batu Pahat pada Mac lalu.
– FAIZ ALIF ZUBIR

“Selain membeli perabot baharu, rumah juga perlu dicat kerana kotor akibat terendam dalam banjir. Apa-apa pun, sambutan raya tahun ini disambut secara sederhana sahaja,” katanya.

Tambah pelantun lagu Pendusta Cinta itu, dia hanya menyediakan dua pasang baju baharu dan selebihnya mengitar semula baju-baju raya terdahulu yang masih lagi elok.

“Tahun ini baju raya saya dua pasang sahaja. Selebihnya saya pakai baju tahun lepas yang masih elok. Kuih raya pun beli sahaja, kalau buat pun, cuma kek batik kerana senang.

“Tiap-tiap tahun memang saya hanya berada di Batu Pahat. Rumah nenek pun sebelah rumah sahaja.

“Jadi kalau raya, sepupu-sepupu saya yang tinggal di luar Batu Pahat akan pulang ke kampung. Terasalah meriah sikit,” katanya.

Gembira menyambut kedatangan peminat ke rumah, Wani turut berkongsi rezeki memberikan duit raya kepada peminatnya yang bertandang ke rumah.

“Setiap kali lebaran, rumah saya memang sentiasa terbuka untuk menyambut kedatangan peminat, malah ada yang datang dari luar Johor.

“Insya-Allah, tahun ini saya ada sediakan duit raya untuk tetamu yang bertandang ke rumah,” kata Wani teruja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI