OSAMA dan Zaki Yamani.

Misi himpunan Syawal Osama, Zaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAHIR sebagai anak penyanyi tersohor Datuk Jamal Abdillah tidak menawarkan sebarang laluan mudah, apatah lagi keistimewaan buat Osama Yamani dan Zaki Yamani mencorakkan laluan kelana seni mereka.

Banyak hal yang perlu dikorban, bahkan ditunda dua beradik dalam meraih impian dalam perjalanan karier dan kehidupan peribadi mereka.

Perkara yang tertunda termasuk juga hasrat meraikan hari lebaran bersama bapa tercinta yang sudah lama tidak dirasai.

Bukan sengaja meraih rasa simpati, Osama memberitahu tidak pernah melupakan tugasnya sebagai anak sulung kepada pelantun lagu Azura itu bukan perkara mudah untuk dilunaskan.

Antara tugas yang masih belum mampu dilakukan ialah menghimpunkan adik-beradiknya bersama Jamal pada Hari Raya Aidilfitri.

AIR dicincang takkan putus. Biarpun jarang bertemu ketika membesar bersama-sama, Zaki dan Osama semakin akrab selepas bergandingan mempertaruhkan darah seni warisan bapa dalam program Famili Duo.

Rindu beraya dengan bapa

“Sebagai anak sulung, pastinya itu impian yang paling sukar untuk dikecapi.

“Namun, itulah hasrat saya sehingga hari ini iaitu ingin memiliki momen raya bersama bapa dan semua adik-beradik lain,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Siapa yang tidak mahu meraikan Syawal dengan bapa tercinta, momen tersebutlah yang terbuku dalam hati dua beradik berlainan ibu itu.

Mengimbau semula, kali terakhir mereka menyambut raya dengan Jamal adalah sekitar 2016, sewaktu Osama berusia 16 tahun, manakala Zaki pula ketika itu berumur 12 tahun.

“Itulah kali terakhir kami beraya bersama dan untuk dapatkan momen tersebut kembali memang sukar.

“Saya perlukan sokongan untuk mendapatkan memori manis tersebut semula. Siapa yang tak mahu beraya dengan bapa sendiri.

SEBAGAI anak sulung dalam keluarga ‘besar’ Jamal Abdillah, Osama berhasrat mahu berhimpun bersama adik-beradik berlainan ibu beraya bersama-sama di bawah satu bumbung suatu hari nanti.
– MUHAMAD IQBAL ROSLI

“Mungkin semua ini perlukan masa, jangan risau saya tak akan pernah berhenti untuk merasainya semula,” ujar pemilik nama penuh Osama Yamani Jamal Ubaidillah berkenaan.

Berkongsi sedikit perkembangan kerjaya seni, bekas peserta Big Stage 2020 itu bersyukur bakat dimiliki mereka dua beradik semakin disedari ramai selepas menjuarai program Famili Duo pada Februari lalu.

Ujarnya, kemenangan tersebut membuka mata ramai pihak terhadap kemampuan sebenar mereka selain tidak lagi terperangkap dengan status sebagai anak bintang legenda.

“Orang semakin nampak kebolehan kami dalam nyanyian, malah menerusi Famili Duo, saya dan Zaki dapat lakukan perkara yang babah jarang buat ketika persembahan seperti menari sambil menyanyi.

“Kami inginkan identiti sendiri dan mahu lari daripada dibayangi imej Jamal Abdillah. Sampai bila kami mahu terus dibayangi? Kami juga mahu bina jenama sendiri,” jelasnya.

SEUMUR hidup, Zaki mengakui tiada momen keluar beraya dan menziarahi saudara-mara bersama seorang lelaki bergelar bapa.

Ikut bapa ke rumah terbuka

Sementara itu, anak kedua pelantun Jamal, Ahmad Zaki Yamani pula turut terkenang memori raya bersama bapanya yang kali terakhir juga disambut pada tahun 2016.

“Kali terakhir beraya bersama babah ialah pada tahun 2016.

“Seingat saya, pada tahun itu, babah bawa kami ke sebuah acara rumah terbuka pada Syawal pertama,” kongsi penyanyi berusia 17 tahun berkenaan.

Zaki juga mengakui tidak pernah merasai momen keluar beraya bersama seorang bapa sehingga hari ini.

“Tahun berikutnya tiada lagi momen beraya bersama babah.

“Kalau diingat semula, kami pun tak pernah ada memori beraya ke rumah orang bersamanya,” katanya tertawa kecil ketika mengimbau semula memori tersebut.

Jauh dalam sudut hatinya, remaja berkulit kuning langsat itu mengakui teringin melalui momen seperti remaja lain, namun belajar untuk memahami hakikat acuan keluarga sendiri.

“Tipulah kalau cakap tidak rindu untuk beraya dengan babah, tetapi saya sudah faham dengan kekangan antara kami.

“Sekurang-kurangnya saya masih ada keluarga belah ibu. Setiap tahun memang beraya dan ‘berkampung’ di Shah Alam, Selangor, syukur datuk dan nenek masih ada,” ujarnya.

SELEPAS bergelar juara Famili Duo, baik Osama atau Zaki, dua beradik berlainan ibu itu mahu membuka mata khalayak bahawa tidak akan selama-lamanya mereka harus dibayangi populariti bapa mereka.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN