fbpx

Projek tambak laut P. Pinang lulus EIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow menunjukkan pelan bagi pembangunan projek PSI yang telah memperoleh kelulusan EIA hari ini.

GEORGE TOWN – Projek tambakan laut selatan Pulau Pinang atau kini dikenali sebagai Penang South Island (PSI) telah memperoleh kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kelulusan itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 11 April lalu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar.

Menurutnya, kelulusan itu adalah berasaskan 71 syarat yang ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

“Lanjutan daripada kelulusan EIA yang diperoleh ini, kerajaan negeri menerusi rakan pelaksana projek (PDP) PSI kini sedang dalam proses memohon kelulusan pelan pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada JAS Pulau Pinang.

“Kerja-kerja tambakan hanya akan dimulakan selepas kelulusan EMP diperoleh yang mana ia dijangka bermula suku ketiga tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.

Projek PSI atau dahulunya dikenali sebagai projek tambakan laut selatan (PSR) merupakan projek seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di negeri ini kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut di perairan berkenaan.

Sebelum ini, pada 8 September 2021, Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memutuskan mengetepikan kelulusan EIA bagi projek tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI