KUALA LUMPUR – Keghairahan menerima gaji mencecah ribuan ringgit membuatkan ada segelintir individu yang mempunyai kerjaya hebat mudah ‘lupa diri’ sehingga terjebak kepada penyalahgunaan dadah.
Bagi seorang bekas penagih dikenali sebagai Razman, 30, kerjayanya sebagai Perunding Kewangan musnah begitu sahaja hanya kerana ketagihannya kepada syabu selama lebih lapan tahun.
Dia yang kini menerima rawatan di Rumah Pengasih di sini berkata, semuanya bermula ketika dia berusia 21 tahun dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pemasaran.
“Saya dibesarkan di kawasan ‘black area’ di sebuah daerah di Perak ketika berusia 17 tahun yang mana terdapat ramai golongan remaja bermasalah dan terlibat dengan dadah.
“Pada usia 21 tahun, saya berhijrah ke Batang Berjuntai, Selangor dan mula menagih dadah sehingga masuk ke alam pekerjaan.
“Saya mengalami keadaan paling teruk dalam hidup iaitu ketika bekerja kerana sedang menikmati kebebasan dan memiliki wang. Dadah membuatkan prestasi kerja saya merudum serta menjejaskan hubungan dengan keluarga,” katanya.
Jelas Razman lagi, berbekalkan gaji pokok RM4,500 setiap bulan, dia biasanya membeli dadah jenis syabu susulan sudah berkemampuan serta mudah didapati selain turut terlibat dalam aktiviti sosial lain seperti berjudi.
“Gaya hidup dan prestasi kerja saya semakin teruk sehingga saya memilih untuk meletakkan jawatan. Bagaimanapun, saya masih ambil bahan terlarang itu.
“Saya guna wang simpanan sebanyak RM50,000 semata-mata untuk beli dadah. Semua habis licin saya gunakan,” luahnya yang mengimpikan kehidupan yang lebih baik selepas keluar daripada pusat pemulihan berkenaan.
Berkongsi proses perubahan dirinya, Razman menyarankan kepada bekas penagih supaya berada dalam suasana positif, hijrah ke tempat baharu dan terus menggunakan ‘support system’.
“Buat mereka yang mengalami nasib sama, bila rasa mahu berubah silakan dan cari ruang yang boleh membantu diri kita. Jangan tangguh sebab keinginan itu akan hilang,” katanya.














