fbpx

Jemu makan ketupat, orang serbu nasi kandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

BERPUASA sudah, sambut raya pun sudah.

Hari ini masuk 5 Syawal, ada antara kita yang masih dalam mood Aidilfitri kerana dapat bercuti panjang, maklumlah rayakan sebulan.

Ada juga yang sudah pulang ke ibu kota secara berperingkat sejak pagi Ahad kerana mula bekerja semalam.

Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut dalam suasana tenang dan santai walaupun ada ura-ura mengatakan perayaan itu akan jatuh pada Jumaat.

Ini kerana perantau sudah mula pulang ke kampung halaman sejak Selasa selepas Kementerian Pendidikan mengumumkan cuti sekolah diawalkan iaitu pada Rabu.

Perdana Menteri juga mengumumkan cuti tambahan sehari pada Aidilfitri tahun ini.

Walaupun 1 Syawal disambut pada Sabtu sekurang-kurangnya kita sudah berada di kampung bersama keluarga tercinta dan membuat persiapan awal membeli barangan keperluan meraikan lebaran.

Lebuh raya dan jalan-jalan utama sesak pada musim raya kali ini, orang ramai bergerak untuk ziarah raya, tapi keadaannya masih terkawal.

Selain jalan raya, kedai mamak juga sudah mula sesak sejak hari raya kedua.

Barangkali orang ramai sudah jemu makan lemang, ketupat, rendang dan biskut raya. Mereka mahu makan nasi kandar pula. Tidak kira waktu siang atau malam, restoran mamak penuh.

Belum habis air dalam gelas, sudah ada yang menunggu di tepi meja.

Okey juga sambil makan nasi kuah campur dan ayam atau ikan goreng dapat juga kita sekeluarga berkumpul dan bersembang, tidak kurang restoran mamak dijadikan tempat reunion.

Dalam keterujaan menyambut hari raya Aidilfitri pada tahun ini, makanlah secara berpada-pada.

Jangan lupa jaga kesihatan kerana hidangan pada musim perayaan menarik belaka, namun harus berwaspada dengan apa yang kita makan.

Saya pasti selepas ini ramai yang merancang untuk mengadakan rumah terbuka sekurang-kurangnya untuk saudara atau rakan-rakan terdekat walaupun bukan dalam skala yang besar.

Jangan terlalu mengikut hawa nafsu. Ada yang berkongsi di media sosial berat badan sudah bertambah dua kilogram (kg) pada hari raya pertama.

Bimbang ada pakaian yang sudah sendat biarpun Syawal masih berbaki tiga minggu lagi, biarpun alasannya raya disambut sekali dalam setahun.

Selain itu, bagi mereka yang memandu, berhati-hati di jalan raya. Sayu rasa hati membaca berita kemalangan terutama yang meragut nyawa pada musim perayaan ini.

Angkanya bukan sedikit. Sebanyak 1,381 kes kemalangan dilaporkan pada hari keempat Ops Selamat (Ahad). Ini bermakna setiap seminit berlaku satu kemalangan pada musim raya ini.

Semoga kita semua dijauhkan daripada malapetaka.

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pembaca Kosmo!. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI