fbpx

Piala FA: Manchester United lolos ke pentas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pemain Manchester United meraikan kejayaan menyingkirkan Brighton menerusi penentuan penalti sebentar tadi.

LONDON – Pasukan Manchester United menepati ramalan apabila mara ke pentas final Piala FA selepas menewaskan Brighton menerusi sepakan penalti 7-6 pada aksi separuh akhir di Stadium Wembley sebentar tadi.

Pada saingan itu, skuad The Red Devils kendalian Erik Ten Hag membariskan kesebelasan terbaik dengan Marcus Rashford, Anthony Martial dan Bruno Fernandes mengetuai jentera serangan.

Namun, Brighton terlebih dahulu menguji kubu United dengan Alexis Mac Allister melakukan sepakan percuma tepat tetapi berjaya ditepis penjaga gol, David De Gea seawal minit ke-7.

Tersentak dengan serangan itu, United memperkemaskan gerakan dan mendapat percubaan awal hasil percubaan Fernandes yang berjaya ditampan oleh penjaga gawang Brighto, Roberto Sanchez pada minit ke-15.

Bersambung pada babak kedua, De Gea sekali lagi menjadi wira buat United apabila penyerang muda, Julio Enciso melakukan rembatan tetapi dinafikan oleh penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu.

Brighton terus melakukan serangan bertali arus dengan percubaan yang dilakukan oleh Danny Welbeck pada minit ke-58 sedikit tersasar.

Solly March turut memiliki peluang untuk menjaringkan gol pada penghujung perlawanan tetapi De Gea sekali lagi bijak menepis percubaan tersebut dengan keputusan 0-0 kekal sehingga aksi terpaksa disambung pada masa tambahan.

United lebih banyak melakukan penguasaan bola ketika Brighton dilihat agak kepenatan dengan percubaan terbaik dimiliki oleh Rashford tetapi rembatannya berjaya ditepis Sanchez.

Pemain tengah United, Casemiro turut mempunyai peluang terbaik pada minit ke-118 tetapi Sanchez masih kebal mengawal gawangnya daripada dibolosi sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Semua pemain United terdiri daripada Casemiro, Diogo Dalot, Jadon Sancho, Rashford, Marcel Sabitzer, Wout Weghorst dan Victor Lindelof berjaya menyempurnakan sepakan penalti masing-masing.

Sementara itu, March menjadi duri dalam daging buat Brighton apabila sepakan penalti yang diambil tersasar sekali gus menyaksikan kemenangan berpihak kepada United.

The Red Devils akan menentang Manchester City pada aksi final Piala FA yang dijadualkan berlangsung di Stadium Wembley bulan depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI