fbpx

Pesakit tunggu ambulans 2 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakyat Britain terpaksa menunggu lama untuk ambulans tiba atau mereka terkandas di luar hospital ketika menanti dimasukkan ke wad kecemasan. – Getty Images

LONDON –  Pesakit di Britain terpaksa menunggu selama lebih dua hari untuk menanti ketibaan ambulans, demikian menurut pendedahan data dikeluarkan Parti Buruh seperti dilaporkan akhbar Metro UK.

Data  daripada laman web Freedom of Information (FOI)  menggambarkan keadaan teruk dan tekanan yang dihadapi Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) iaitu agensi kesihatan awam Britain.

Menurut laporan sama,  rakyat di seluruh negara terpaksa menunggu lama untuk ketibaan ambulans  atau mereka terkandas di luar hospital ketika menanti untuk dimasukkan ke wad kecemasan.

Di rantau North West England contohnya, seorang pesakit perlu menanti sekurang-kurangnya 65 jam dan 38 minit untuk mendapatkan ambulans  bagi panggilan kategori 3 pada Disember lalu.

Ia dikategorikan sebagai kes  ‘segera’ namun tidak mengancam nyawa serta-merta dan perlu diberi tindak balas dalam masa dua jam bagi sembilan daripada 10 kes.

Sementara itu, sebilangan pesakit di West Midlands dan Yorkshire pula menanti ambulans selama lebih 21 jam selepas membuat panggilan kecemasan  kategori 2.

Panggilan kategori tersebut perlu diberi tindak balas dalam masa 18 minit dan ia termasuk kes serangan jantung dan strok.

Penantian paling lama untuk panggilan kategori 2 adalah di East Midlands iaitu  lebih 26 jam.

Data FOI lain yang dikumpul oleh Parti Buruh pada 2022 menunjukkan seorang pesakit perlu menanti selama 40 jam di bahagian belakang ambulans di luar sebuah hospital di South West.

Sementara di East of England pula, penantian yang dicatatkan adalah hampir 36 jam dan  32 jam di West Midlands.

Setiausaha Bayangan Negara untuk Kesihatan dan Penjagaan Sosial, Wes Streeting berkata, ini adalah realiti yang menakutkan selepas 13 tahun Parti Konservatif membiarkan NHS mengalami masalah kekurangan staf. – Agensi 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI