fbpx

Ketua UMNO Bahagian Perlis bukan ‘keluarga taufan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rozabil (dua dari kiri) pada sidang akhbar di Arau, malam semalam.

ARAU – UMNO Perlis yakin kerjasama erat dapat diwujudkan antara ketiga-tiga ketua bahagiannya kerana mereka semua bukan lahir daripada ‘keluarga taufan’.

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, wujud kesepakatan yang telah dipersetujui antara tiga Bahagian UMNO negeri dan tiada lagi ‘ribut’ melanda pergerakan parti di negeri itu.

“Saya pernah bekerjasama dengan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais ketika menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri suatu ketika dahulu.

“Dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri sebelum bertemu Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, kami bersetuju tidak lagi bersaing malah menjalinkan kerjasama erat antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kata beliau, pergerakan UMNO Perlis yang hanya mempunyai tiga bahagian tidak akan menjadi 30 bahagian akibat perpecahan kerana selalu bergaduh.

“Kami yakin dapat bergerak dalam satu pasukan bagi merampas semula Perlis kepada tangan Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Kata Rozabil, beliau turut mengarahkan semua sayap pergerakan parti di negeri itu mewujudkan skuad kebajikan yang akan turun padang bagi memastikan bahawa masyarakat setempat mendapat kehidupan lebih selesa.

“Kita ambil pendekatan menerusi beberapa program seperti portal aduan dilakukan UMNO Bahagian Kangar akan dipanjangkan ke setiap bahagian lain bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terbela,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI