MEMANDU kenderaan elektrik (EV) mungkin akan mencetuskan satu perasaan janggal kepada sesiapa yang baru pertama kali mengemudinya.
Bahkan, pelbagai persoalan sudah terdetik sebaik saja masuk ke dalam kabinnya. Antara persoalan itu adalah di mana tombol gear? Mana butang penghidup enjin? Dan kenapa butang parkirnya ialah brek?
Kebanyakan EV menawarkan ciri-ciri yang unik bergantung kepada jenama dan model. Sebab itu, jika kita masih baharu dengan sesuatu model itu, kita perlu mengambil masa sedikit sebelum memulakan pemanduan.
Memandu EV adakalanya membuatkan kita berasa seperti baru belajar memandu kerana jarak pemanduan kita bergantung kepada cara pemanduan diri masing-masing sebagai pemandu.
Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang untuk memandu uji model EV dari Korea Selatan iaitu Kia EV6 dengan varian GT-Line AWD. Untuk pasaran Malaysia, hanya satu varian itu yang ditawarkan.
Sejujurnya, perkara pertama yang penulis tertarik pada model ini ialah rekaan luarannya yang futuristik, sporty dan agresif.
Lampu nyalaan siang dengan tema Digital Tiger Face menaikkan imej garang pada bahagian hadapan.

Bahagian sisinya pula terserlah estetika reka bentuknya dengan garisan tajam dan butiran berteknologi tinggi yang mewujudkan sensasi aerodinamik. Tambah menonjol, model ini menggunakan rim aloi GT-Line bersaiz 20 inci.
Cermin depan yang agak menjunam tampak pelik tetapi mungkin kesinambungan bagi keseluruhan kereta ini.
Sementara itu, rekaan bahagian belakang yang berani menambahkan ‘kelantangannya’ melalui garisan watak di sepanjang bahagian bawah pintu ke gerbang roda belakang yang memberi profil kereta ‘panjang’ secara visual.
Tiang C belakang yang condong telah direka bentuk dengan prestasi aerodinamik terbaik, yang disepadukan dengan sisipan berkilat hitam sekali gus melebarkan kaca tingkap secara visual.
Spoiler bumbung yang menonjol menyalurkan udara ke arah spoiler bawah yang terletak pada gugusan lampu belakang kereta yang unik.
EV yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan tersebut dihasilkan daripada platform E-GMP.

Model ini hadir dengan pek bateri 77.4kWj yang dipadankan bersama dua motor elektrik. Kombinasi itu mampu hasilkan kuasa maksimum 321hp dan tork tertinggi pada 605Nm.
Penulis difahamkan, EV ini mampu bergerak sejauh 506 kilometer dengan sekali cas penuh. Atas kertas, kelajuan maksimum Kia EV6 ini mampu mencecah 185 kilometer sejam (km/j). Kadar pecutan dari pegun hingga 100km/j pula dalam masa 5.2 saat.
Masuk ke ruang kabin, Kia EV6 dilengkapi sistem audio sekeliling Meridian dengan 14 pembesar suara yang berkuasa memberikan pengalaman bunyi yang hebat.
Papan pemuka mencerun ke arah hadapan keretanya mewujudkan rasa ruang keterbukaan untuk penumpang tempat duduk hadapan.
Tempat duduknya bereka bentuk moden dan kontemporari. Salah satu elemen dalaman yang paling menarik bagi penulis ialah skrin infotainment melengkung berteknologi tinggi.
Selain itu, Kia EV6 menawarkan ruang dalaman yang pintar dan fleksibel.
Ruang simpanan bersaiz 520 liter tanpa tempat duduk baris kedua dilipat. Selain itu, kereta ini juga menawarkan ruang bagasi hadapan seluas 20 liter.














