fbpx

Bayaran RM30,000 dibekukan, Atu Zero tak halalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATU tertanya-tanya mengapa hanya bayarannya belum dilunaskan stesen televisyen Awesome TV.

KUALA LUMPUR – Meskipun tertanya-tanya motif stesen televisyen Awesome TV membekukan bayaran tertunggak sebanyak RM30,000, pelawak Atu Zero bersyukur apabila hasil titik peluh artis lain sudah dilunaskan sebaik dia menyuarakan isu tersebut.

Katanya, beberapa pelakon yang sebelum ini turut berdepan masalah sama telah menghubunginya bagi mengucapkan terima kasih kerana menularkan isu berkenaan.

“Memang ada pelakon otai dan baharu hubungi serta ucap terima kasih sebab saya tularkan isu tersebut yang akhirnya membuatkan mereka dapat hak sepatutnya.

“Apabila tengok segelintir artis lain kadang-kadang tak ada siapa nak perjuangkan hak mereka, saya rasa lega dapat bantu kawan lain,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis tayangan perdana filem Sumpahan Malam Raya, semalam.

Mengulas mengenai hanya dia yang belum menerima baki bayaran, Atu atau nama sebenarnya, Sharif Kunal Doli Sharif, 31, kemungkinan stesen televisyen tersebut sengaja berbuat demikian berikutan kelantangannya selepas rayuan menuntut hak tidak dipedulikan.

“Saya bukan nak buka aib sesiapa, tetapi ini kebenaran. Semua kawan lain sudah dapat bayaran mereka selepas isu ini viral, cuma saya seorang sahaja dibekukan. Kenapa?

“Saya tahu saya hanya ada kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia dan kelayakan mereka lebih tinggi, cuma kenapa tak boleh berfikir seperti saya,” luahnya.

Selepas ini, pelawak asal Kudat, Sabah itu memilih untuk berdiam diri bagi meredakan keadaan, namun tidak bermakna isu tersebut selesai selagi haknya tidak diberikan.

Malah secara terbuka dia enggan menghalalkan hasil keringatnya yang melaksanakan tanggungjawab sehingga kerja selesai demi mencari rezeki buat isteri dan anak.

“(Digelar) anjing, sebagai manusia saya mengamuklah, tapi tak guna nak melenting, nanti (kedudukan) saya sama pun sama macam dia.

“Saya boleh bersabar sekiranya bayaran lambat, tetapi sekarang kita cakap soal hak. Tak bolehlah kalau nak halalkan RM30,000, itu titik peluh kita.

“Mereka tetap mengasak saya ke pejabat untuk berjumpa. Sebelum ini saya dah datang, tapi janji kosong. Lagipun boleh saja terus masukkan wang itu ke akaun seperti bayaran terdahulu,” katanya.

Sementara itu, Atu berharap filem Sumpahan Malam Raya arahan Profesor A. Razak Mohaideen yang ditayang di seluruh negara, Brunei dan Singapura pada 22 April ini meraih sokongan.

Selain Atu, filem genre komedi seram tersebut turut membariskan Danial Zaini, Vanidah Imran, Reen Rahim, Nora Danish, Yusry Abdul Halim, Ropie dan Saiful Apek. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI