fbpx

Sisa minyak sawit, arang punca kualiti Sungai Serdang terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan aliran air berwarna putih di Sungai Serdang akibat pembuangan sisa minyak sawit secara haram.

SHAH ALAM – Pembuangan sisa minyak sawit dan sisa arang dikenalpasti menjadi punca pemasalahan kualiti sumber air terjejas di Sungai Serdang, Kapar dekat sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, penemuan itu hasil siasatan dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, punca insiden pertama disyaki disebabkan terdapat sisa arang batu dari premis stesen janakuasa elektrik yang mengalir ke dalam parit kawasan kampung dan seterusnya masuk ke sungai itu.

“Siasatan LUAS mendapati aliran sisa arang batu tersebut berpunca daripada kebocoran di premis stesen janakuasa terlibat.

“Pemantauan LUAS di tapak mendapati kerja pembaikan dan pembersihan sisa arang telah dilakukan oleh pemilik stesen dengan kadar segera dan tiada lagi aliran yang mencemar dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, siasatan yang diteruskan di kawasan berhampiran telah menemui aliran air berwarna putih juga memasuki Sungai Serdang.

Ujar Loy Sian, ini disebabkan pembuangan sisa minyak sawit yang disyaki telah dibuang secara haram oleh individu yang tidak dikenal pasti menggunakan sebuah lori tangki.

“LUAS telah melakukan pensampelan yang kemudiannya telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa lanjut.

“Penyelarasan tindakan telah dilakukan antara LUAS bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang serta Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi semakan dan verifikasi berkaitan dengan status pemilik tanah, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam terhadap sisa yang dibuang secara haram.,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun menjelaskan insiden itu tidak memberikan kesan kepada bekalan air memandangkan tiada Loji Rawatan Air (LRA) berada di kawasan Sungai Serdang.

“Namun, LUAS sentiasa peka dan pro-aktif untuk memastikan keadaan sumber air negeri terutamanya sungai sentiasa terpelihara dan diambil tindakan segera,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI