fbpx

CREAM, YTL Cement meterai MoU pertingkat keupayaan industri pembinaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Asri (dua dari kiri) bersama Michael (dua dari kanan) pada majlis pemeteraian MoU di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) dan kumpulan bahan binaan terbesar di Malaysia, YTL Cement memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menyokong peralihan industri pembinaan negara ke arah pembinaan mampan. 

MoU tersebut akan tertumpu kepada tiga bidang utama iaitu pembangunan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan serta menyokong sektor pembinaan untuk beralih ke arah pembinaan mampan.

CREAM adalah anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia yang bertanggungjawab dalam penyelidikan dan pembangunan industri pembinaan.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, kerjasama tersebut merupakan titik permulaan kerjasama antara pihak kerajaan dan industri untuk mencapai kecemerlangan industri pembinaan dan membudayakan amalan pembinaan mampan, selaras dengan aspirasi neutral karbon negara menjelang tahun 2050. 

“Melalui MoU ini, kami berazam untuk memacu perubahan yang bermakna melalui usaha kami dalam membangunkan kapasiti dan keupayaan industri pembinaan serta menetapkan piawaian untuk amalan pembinaan mampan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

YTL Cement akan menyokong inisiatif CIDB dalam membangunkan tenaga kerja, penyelidikan dan inovasi industri pembinaan serta meningkatkan pemahaman tentang amalan pembinaan mampan dalam kalangan penggiat industri.

Selain itu, Pengarah Urusan YTL Cement, Datuk Seri Michael Yeoh menjelaskan, pihaknya telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia selama lebih 70 tahun dan Kumpulan mahu terus menyokong pembangunan dan keperluan pembinaan negara. 

“Kerjasama ini adalah peluang untuk kami menyumbang kepakaran dan pengalaman bagi menyokong CIDB dalam inisiatif mereka,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI