fbpx

Bekas banduan ketuai geng pecah premis, samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hoong Fong menunjukkan barangan yang dirampas pihaknya daripada kumpulan penjenayah itu.

KLANG – Seorang bekas banduan bukan sahaja tidak serik melakukan jenayah malah bertindak merekrut empat individu melakukan pecah premis, curi kenderaan dan samun sejak tiga bulan lalu.

Suspek lelaki yang memiliki 55 rekod jenayah lampau berjaya diberkas bersama ‘anak buahnya’ yang kesemua berusia 37 hingga 44 tahun di sekitar daerah ini pada 30 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan itu dilakukan susulan kes pecah sebuah kedai perkakasan di Kampung Jawa pada 26 Mac lalu.

Katanya, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis itu menunjukkan sekumpulan lelaki melarikan pelbagai jenis barangan dianggarkan bernilai RM20,000.

“Hasil maklumat dan risikan kemudian membawa kepada serbuan di beberapa rumah di Jalan Kapar, Taman Sentosa dan Taman Selatan.

“Selain tangkapan lima suspek lelaki itu, polis turut merampas tiga kereta dan 52 barangan yang dicuri daripada kedai perkakasan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, hari ini.

Jelas Hoong Fong, siasatan mendapati kumpulan itu diketuai oleh seorang bekas banduan yang baharu selesai menjalani hukuman penjara mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) awal tahun ini.

Tambah beliau, kumpulan itu bergiat aktif pada awal pagi dengan menyasarkan premis perniagaan yang tidak beroperasi.

“Semakan turut mendapati dua kereta jenis Proton Waja dan Wira merupakan kenderaan curi manakala Perodua Axia digunakan suspek untuk melakukan jenayah.

“Kesemua suspek memiliki sekurang-kurangnya 11 rekod lampau termasuk ketua mereka yang mempunyai 55 kes jenayah dan dadah,” ujarnya.

Tambah beliau, tangkapan itu membawa kepada kejayaan pihaknya menyelesaikan 14 kes termasuk di Klang Utara dan Shah Alam.

“Hasil soal siasat mendapati lima suspek terlibat dalam kes pecah masuk kilang, kedai, curi kereta, curi motosikal dan samun.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan termasuk mengesan saki baki kumpulan tersebut,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI