fbpx

Dua lelaki diberkas cuba seleweng diesel 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan yang digunakan turut dirampas

ALOR SETAR – Dua lelaki ditahan setelah disyaki cuba menyeleweng minyak diesel bersubsidi dalam dua operasi di Bukit Kayu Hitam dekat sini pada Sabtu lalu.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, seorang suspek warga Thailand berusia 21 tahun diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika cuba menyeludup 500 liter diesel.

“Dalam operasi itu, pihak PGA menahan sebuah kenderaan pikap bernombor pendaftaran Thailand dalam keadaan mencurigakan di simpang empat menghala ke Kompleks ICQS, Bukit Kayu Hitam.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebuah tangki tambahan dibina pada kenderaan tersebut dengan kira-kira 500 liter diesel,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, hasil soal siasat mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.

“Anggaran nilai rampasan diesel adalah sebanyak RM1,075 dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM71,075.

“Suspek ditahan dan dikenakan perintah reman selama empat hari bermula hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, seorang lelaki tempatan ditahan di sebuah stesen minyak di Changlun dekat sini pada pukul 10 malam, hari sama kerana turut disyaki cuba menyeleweng diesel.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui sebuah tangki tambahan pada lori dipandu suspek.

“Anggota penguat kuasa seterusnya bertindak menyita lori berkenaan dan minyak diesel kira-kira 200 liter,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI