fbpx

Pensyarah ‘terjah’ rumah sewa, hostel pelajar ponteng kelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video Hisyam menerjah rumah sewa dan bilik di kolej kediaman beberapa pelajarnya yang tidak hadir ke kelas pagi.

PETALING JAYA – Seorang pensyarah universiti awam bertindak menerjah rumah sewa dan bilik di kolej kediaman beberapa pelajarnya gara-gara gagal menghadirkan diri ke kelas.

Menerusi beberapa video dimuat naik pada TikTok, pensyarah tersebut dikenali sebagai Hisyam Che Mat bertugas di sebuah universiti di Shah Alam, ditemani pelajarnya yang lain menerjah rumah sewa mereka yang tidak hadir ke kelas.

“Ziarah Ramadan ke rumah pelajar, hari ini saya nak pergi Bandar Baru Klang lebih kurang 10 minit dari Shah Alam.

“Ada satu rumah ni pelajar kelas saya, daripada lapan orang di rumah mereka, enam orang datang kelas. Dua orang terbongkang lagi, jadi kita tengok apa dia buat.

“Hari ini kita pergi rumah ‘student’ saya tak datang kelas, separuh kelas tak datang. Jadi saja nak buat ziarah mana tahu sakit ke apa ke,” katanya menerusi video tersebut.

Sebaik beliau memasuki rumah itu, kelihatan dua pelajarnya baring berselimut di atas tilam dan terkejut dengan kehadiran pensyarah tersebut, manakala salah seorang daripada mereka sempat bersalaman.

“Tempat cantik dah (pemandangan balkoni rumah), kenapa tak datang kelas. Kemas kemas, kelas kita nak buat di sini. Budak perempuan semua dah tunggu. Ya Allah tak puasa ke, merokok juga ni,” bebel pensyarah tersebut.

Malah, beliau sempat melakukan tinjauan di bahagian dapur dan bilik rumah sewa mereka selain memuji keadaannya yang kemas.

“Sekarang saya berada di rumah pelajar di Bandar Baru Klang, jadi kita lawat rumah pelajar. Dapur dia memang cantik, dia masak di rumah, bagus.

“Kemudian bilik tengok tersusun kemas, ni bilik dia, mana nak dapat macam ini. Anak lelaki kemas bilik. Kita tengok bilik sana pula, cantik. Ada ‘dumbbells’, budak sukan wajib ada, bagus. Kasut sukan kalau tengok macam-macam jenis ada, ‘bundle’,” katanya.

Dalam video yang lain, Hisyam turut mengetuk pintu bilik di kolej kediaman pelajar perempuan yang tidak hadir ke kelas serta menegur mereka kerana gagal menghadirkan diri, sedangkan ada pelajar tinggal di rumah sewa boleh datang ke kelas pada pagi tersebut.

“Kenapa tak datang kelas saya? Kawan kamu datang, kamu duduk sini tak datang, (duduk) kolej je pun. Habis nak tidur lagi? Nak cuti tiga minggu terus sampai raya?

“Jadi sampai raya kita jumpa, saya tanda nama kamu cuti sampai lepas raya. Lepas ni kamu boleh tidur terus,” katanya dengan nada tegas.

Hisyam berkata, kali terakhir dia menerjah hostel pelajar yang tidak hadir ke kelasnya sekitar tahun 2003 sebelum menghentikan tindakan tersebut.

“Hari ini kelas saya ramai tak datang, mak ayah harapkan anak-anak ini pergi kelas,” katanya.

Di sebalik komen-komen netizen yang memuji Hisyam yang disifatkan seorang pensyarah bertanggungjawab, terdapat juga yang mempersoalkan tindakan beliau menerjah bilik pelajarnya yang tidak hadir ke kelas.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik sekali gus tidak boleh berkompromi dengan perbuatan ponteng kelas tersebut.

“Saya pun rasa pelik juga kenapa saya nak pergi ke bilik pelajar sedangkan saya boleh duduk dalam bilik saya yang ada pendingin udara. Tak perlu berpanas cari pelajar yang tak datang kelas saya.

“Tapi tuan kena tahu ini tanggungjawab saya sebagai pendidik, maknanya saya tak boleh berkompromi kalau ada pelajar yang ponteng, pelajar culas dan sebagainya.

“Saya perlu tahu ke mana mereka berada dan kenapa tak datang kelas saya. Ini bukan kali pertama saya buat, sebelum ini tahun 2000 saya sudah buat benda ni. Kemungkinan tak pernah ‘meletup’ sebab itu orang tak tahu. Jadi tuan jangan risau, ini tugas saya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI