fbpx

Koperal dalang seludup bunga api, mercun guna trak pikap PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah trak pikap PDRM yang diguna oleh anggota polis berpangkat Koperal untuk menyeludup bunga api dan mercun.-Foto POLIS

MACHANG – Seorang anggota polis berpangkat Koperal dan rakannya dicekup selepas dipercayai menyeludup bunga api dan mercun bernilai RM25,000 menggunakan sebuah trak pikap Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa tiba di lampu isyarat di Wakaf Bata di sini pada Selasa lalu.

Anggota polis yang berusia 35 tahun dan rakannya 32 tahun itu ditahan oleh anggota risik Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 selepas mengekori trak pikap jenis Toyota Hilux milik PDRM itu kira-kira pukul 7.45 malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kenderaan terbabit dikesan dipandu dalam keadaan mencurigakan dari Tanah Merah ke arah Machang.

Menurutnya, anggota PGA terus bertindak menahan trak pikap terbabit semasa tiba di lampu isyarat Wakaf Bata.

“Pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan itu menemui sebanyak 15 kotak dan 12 guni mengandungi pelbagai jenis bunga api termasuk mercun yang bernilai RM25,000.

“Selepas semakan dijalankan, suspek pertama merupakan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu manakala rakannya bekerja sebagai mekanik,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, semakan turut mendapati, suspek kedua itu mempunyai lima rekod lampau berkaitan dengan kes dadah.

Menurutnya, polis sedang mengenal pasti sama ada anggota polis terbabit berada di luar kawasan kerana tugas atau sebaliknya.

Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula kelmarin sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI