fbpx

‘Jiwa kacau’ Hujan, Bunkface, Insomniacks, Masdo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASDO dan Bunkface bersama Insomniacks serta Hujan akan menggegarkan Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor dengan penganjuran Konsert Jiwa Kacau pada 17 Jun depan.

PETALING JAYA – Menyatukan empat kugiran, Hujan, Bunkface, Insomniacks dan Masdo di atas sebuah pentas yang sama, Konsert Jiwa Kacau menampilkan formula yang mampu memberi kepuasan maksima kepada khalayak.

Buat julung kali, MND Sport & Event Sdn. Bhd. menganjurkan konsert membabitkan penyertaan empat kugiran yang mempunyai identiti tersendiri bersama garapan dendangan popular mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MND Sport & Event, Harith Daniel menyifatkan Hujan, Bunkface, Insomniacks dan Masdo sebagai kugiran yang tidak pernah ditelan zaman melihatkan perjalanan seni mereka selama ini.

“Saya dan MND Sport & Event Sdn. Bhd. percaya dengan kolaborasi bersama empat band itu, kami semua mampu mencetuskan satu lagi fenomena dalam industri muzik.

“Hujan dan Bunkface adalah dua band indie yang memecah tembok komersial dengan kualiti mereka sehingga menjadi sebutan dalam arena senario indie di Malaysia.

“Insomniacks dan Masdo pula merupakan kugiran pop dan rock yang meraih pengaruh paling pantas dalam kalangan generasi muda lewat keunikan genre yang dimainkan.

“Jadi apabila keempat-empat kugiran yang penuh dengan seleksi popular itu digabungkan, kami percaya konsert ini dapat mencipta gelombang baharu untuk industri muzik Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Bunkface menyifatkan Konsert Jiwa Kacau sebagai sebuah lamaran ‘gila’ yang datang tepat waktu sehingga tidak patut dilepaskan.

“Beritahu kami siapa yang sanggup lepaskan peluang ‘berperang’ dan berpesta dengan Hujan, Insomniacks dan Masdo? Mereka semua hebat.

“Konsert Jiwa Kacau sebenarnya menjadi penghormatan buat kami bagaimana karya pemuzik lokal seperti kami diiktiraf dan terus disokong untuk memartabatkan industri muzik kita,” ujar Youk selaku wakil Bunkface.

Bagi Imsomniacks pula, berkongsi pentas dengan tiga band berpengaruh dalam gelanggang muzik tempatan sebagai mimpi yang menjadi realiti.

“Sebagai pemuzik paling junior, Insomniacks berbesar hati dipilih melengkapkan formasi panggung bersama Hujan, Bunkface dan Masdo yang terlebih dahulu merintis jalan untuk pemuzik seperti kami hidup dalam industri,” kata mereka.

Konsert Jiwa Kacau dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 17 Jun depan.

Tiket dijual bermula dengan harga RM75 (CAT 3), RM165 (CAT 2 & General), RM235 (CAT 1), RM255 (VIP) dan RM488 untuk Meet & Greet Pass menerusi www.myticket.asia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI