GEORGE TOWN – Di sebalik keterujaan mencari duit dengan melakukan pelbagai pekerjaan sambilan, para pelajar universiti tidak pernah melupakan tanggungjawab mereka untuk menuntut ilmu sebaik mungkin.
Sebaliknya, mereka tetap menghadiri kuliah setiap hari walaupun ada yang mengakui kepenatan dan kurang tidur.
Seorang penuntut jurusan ekonomi di sebuah universiti tempatan di Pulau Pinang dikenali Nurfadzlin, 22, berkata, dia terpaksa bekerja sambilan di sebuah restoran francais sejak tahun pertama pengajiannya bagi menampung kos pengajian dan membayar sewa rumah.
Menurut anak kelahiran Johor itu, dia bukan sahaja berdepan kekangan kewangan ekoran menerima pinjaman pendidikan yang sedikit, tetapi juga terpaksa bersaing untuk mendapatkan penginapan asrama di dalam universiti.
“Duit pinjaman hanya cukup-cukup untuk membiayai yuran pengajian satu semester dan bakinya kira-kira RM1,500 memang tidak cukup untuk menampung kos harian selama enam bulan (satu semester).
“Bukan setakat itu, kami juga perlu bersaing untuk tinggal di asrama. Disebabkan itu, saya memilih menyewa di luar kampus bersama sembilan pelajar lain dengan bayaran bulanan RM150 seorang,” katanya.
Katanya lagi, dia kini perlu bijak membahagikan masa belajar dan bekerja bagi mengelak keciciran sehingga menjejaskan keputusan peperiksaannya.
“Belum pernah lagi ponteng kuliah. Memang penat, tetapi terpaksa juga cari duit lebih untuk belajar di universiti. Biasanya, saya akan mula bekerja pada waktu petang sehinggalah pukul 12 tengah malam.
“Setiap bulan, saya mampu peroleh RM600 dan dengan duit itulah saya gunakan untuk perbelanjaan harian, kos pengangkutan, sewa rumah dan membayar bil telefon,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penuntut universiti tempatan yang mahu dikenali sebagai Khairul, 22, memberitahu, dia terpaksa melakukan kerja sambilan pada sebelah malam untuk membayar hutang motosikal serta telefon pintar yang dibelinya secara ansuran sejak lebih setahun lalu.
“Keluarga saya pun bukan orang senang dan sejak kecil, saya dan adik-beradik lain diajar untuk berusaha sendiri jika inginkan sesuatu,” katanya.














