fbpx

Petronas teruskan cari gali di perairan ditutup China – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

KUALA LUMPUR – Syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan terus mencari gali di sebuah kawasan yang ditutup oleh China di Laut China Selatan berikutan pertindihan tuntutan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menegaskan perkara itu walaupun kerajaan China berasa bimbang kerana Petronas telah menjalankan kegiatan besar- besaran di kawasan tersebut.

“Perkara ini saya sebut sendiri kepada Perdana Menteri dan Presiden China bahawa Malaysia menganggap kawasan ini kawasan Malaysia, maka Petronas akan terus mencari gali di kawasan itu.

“Tetapi kalau China rasakan ini hak mereka, kita buka untuk rundingan. Sementara itu usaha kita mencari gali akan diteruskan.

“Saya tidak mahu mengelak daripada meneruskan rundingan kerana ini adalah pendirian ASEAN semua tuntutan bertindih mesti diselesaikan secara rundingan, tetapi setakat ini Malaysia bertegas bahawa ini adalah di kawasan atau wilayah Malaysia,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyudddin Hassan (PN-Kota Bharu) adakah Perdana Menteri berbincang dengan pimpinan China mengenai keselamatan rantau ini terutama apabila kehadiran tentera laut China di Laut Cina Selatan menyebabkan terbentuk pakatan keselamatan antara Amerika Syarikat-United Kingdom-Australia (AUKUS).

Anwar berkata, beliau telah dihubungi oleh Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese yang turut menghantar wakil khas untuk menjelaskan tentang perkara itu.

Menurut beliau, pendirian Malaysia dan ASEAN dalam hal tersebut adalah tidak menyokong sebarang usaha yang boleh meningkatkan ketegangan terutama bidang ketenteraan.

Tegas beliau, Malaysia dan ASEAN adalah zon bebas yang tidak mahu perseteruan antara kuasa besar menekan negara-negara ASEAN.

“Apabila diumumkan AUKUS, Malaysia telah menyatakan keresahan dan kebimbangan agar perkara ini tidak meledak sebagai provokatif yang akan menyebabkan negara China meningkatkan kegiatan mereka di rantau ini.

“Tentang kehadiran kapal (tentera China), itu diterangkan China itu perairan antarabangsa, tetapi Kementerian Luar akan terus pantau sekiranya ada pelanggaran akan keluarkan bantahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI