fbpx

Jadi manja petanda ajal isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba menguruskan mayat Ruzana dan Suhaizan (gambar kecil) yang maut dalam kemalangan di Pekan semalam.

PEKAN – Seorang suami tidak menyangka sikap isterinya yang lebih mesra berbanding biasa menjadi petanda wanita itu akan pergi buat selama-lamanya.

Sheikh Hamazon Sheikh Hasnan, 54, berkata, pada mulanya dia menganggap perubahan sikap arwah isterinya, Ruzana Mohamad Agin, 50, adalah kerana faktor usia.

“Isteri saya seorang yang sa­ngat tegas dan kurang bercakap, namun sejak seminggu dua ini, saya lihat dia lebih mesra berbanding biasa.

“Biasanya kalau dia pergi kerja pun saya tidak sedar, namun sejak kebelakangan ini, setiap pagi sebelum bersiap ke tempat kerja dia akan peluk saya terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, Ruzana dan penumpang hadapan, Suhaizan Abdullah, 41, maut apabila kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mereka terlibat nahas di Kilometer 55, Jalan Pekan-Nenasi-Rompin.

Sahabat kakitangan Jabatan Perangkaan Pahang itu maut ketika dalam perjalanan untuk me­lakukan bancian di Rompin.

Cerita Sheikh Hamazon, sebagai suami, dia membalas kembali pelukan isterinya dan menganggap ia satu perubahan positif, namun tidak menyangka ia petanda wanita itu akan pergi buat selama-lamanya.

Tambahnya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 9 pagi menerusi sahabatnya yang merupakan Ketua Kampung Benta di sini.

“Saya kemudian bergegas ke situ sebelum berpatah balik ke hospital kerana tak mampu untuk melihat keadaan isteri yang cedera parah,” katanya.

Pengusaha lori itu berkata, dia reda dengan pemergian isterinya itu selain turut berjanji dengan dirinya untuk menjaga ibu mentuanya, Jemilah Awang Ngah, 74, sehingga ke akhir hayatnya.

“Arwah isteri saya memang bertanggungjawab untuk membawa ibunya mendapatkan ra­watan atau apa jua urusan, di­sebabkan itu arwah isteri ada memegang kad pengenalan ibu mentua saya.

“Saya berjanji dengan diri saya untuk meneruskan menjaga ibu mentua sehingga akhir hayatnya dan saya menganggap ini adalah ama­nah terakhir arwah isteri untuk saya,” katanya.

Dia memberitahu jenazah Ruzana dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu di sini selepas selesai urusan bedah siasat.

Ruzana meninggalkan empat anak berusia 30 tahun, 28 tahun, 19 tahun dan 13 tahun yang mana dua
anaknya itu sudah berumah tangga dan memiliki tiga cucu yang menetap di Kelantan dan Putrajaya.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa kejadian, Suhaizan, 41, yang turut meninggal dunia di lokasi kejadian pula dijangka dikebumikan di Kampung Bentan, di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI