fbpx

Harga Menu Rahmah RM2 hingga RM4 lebih rendah berbanding pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Menu Rahmah yang merupakan pilihan makanan bermasak ditawarkan kepada golongan memerlukan dijual pada harga RM5 iaitu lebih rendah berbanding harga yang selalu dijual di pasaran antara RM7 hingga RM9.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, Menu Rahmah juga merupakan pilihan makanan bermasak ditawarkan kepada keluarga yang tidak sempat untuk memasak pada hari bekerja.

“Saya ingin maklumkan Menu Rahmah ditawarkan pada harga RM5, tetapi selalunya menu tersebut (yang sama) ditawarkan pada harga RM7 hingga RM9. Tanpa ada kompromi dari segi saiz potongan ayam, (kuantiti) sayur dan sebagainya.

“Jadi selalunya dijual pada RM7, RM9, tetapi hidangan yang sama ditawarkan Menu Rahmah pada harga RM5,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator N. Balasubramaniam samada kerajaan menyediakan insentif atau subsidi bagi peruncit yang mengadakan inisiatif Menu Rahmah.

Fuziah menjelaskan, kerajaan belum bercadang menawarkan subsidi kepada pengusaha Menu Rahmah, sebaliknya insentif oleh kerajaan adalah dalam bentuk promosi melalui platform media dan portal Menu Rahmah serta penjenamaan Menu Rahmah.

Terdahulu, katanya, sejak Menu Rahmah dilancarkan pada 31 januari 2023, ia telah tular dan mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan rakyat serta pengusaha makanan dan minuman di seluruh negara.

Menurut beliau, sehingga 28 Mac 2023 sebanyak 1,531 pengusaha makanan dan minuman telah mendaftar dalam portal Menu Rahmah dan menawarkan Menu Rahmah kepada pengguna pada harga RM5 dan ke bawah.

“Secara pecahan, sebanyak 1,152 merupakan pemain industri, manakala selebihnya merupakan rangkaian-rangkaian restoran tom yam dan “indian muslim”. Program Menu Rahmah ini merupakan inisiatif dipelopori sendiri oleh industri.

“Ia dilaksanakan oleh pengusaha kedai makan atas dasar sukarela dan komitmen untuk bersama melaksanakan aspirasi kerajaan dalam membantu rakyat mengurangkan beban sara hidup.

“Daripada pemantauan dan maklum balas di lapangan, Menu Rahmah telah jadi daya tarikan untuk pelanggan mendatangi kedai makan tersebut dan secara tidak langsung meningkatkan jualan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI