PADA era sekitar 1940-an dan sebelumnya, kepercayaan kepada semangat alam begitu kuat dipegang masyarakat Melayu. Kepercayaan ini diletakkan kepada haiwan, jembalang dan jin yang menjadi penentu atau ‘penilik’ nasib penduduk kampung demi mendapatkan kesihatan, kekayaan mahupun menolak bala.
Selain melakukan ritual atau membaca mantera dan jampi, bagi masyarakat Melayu di Kampung Rim, Jasin, Melaka antara cara lain yang diamalkan penduduk zaman silam adalah meramal untung-nasib dengan puisi rejang.
Rejang ini disifatkan sebagai kalendar yang ditaakul menerusi sifat binatang, kerana ketika itu orang-orang kampung masih belum mempunyai pegangan kuat pada agama dan mencerap sesuatu menerusi alam.
Sila baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
PADA era sekitar 1940-an dan sebelumnya, kepercayaan kepada semangat alam begitu kuat dipegang masyarakat Melayu. Sehingga kini, serpihan kepercayaan itu masih diamalkan segelintir.
Misalnya, ketika berburu atau membuang air kecil dan besar di hutan, sebagai tanda hormat, sesetengah kita akan meminta izin ‘tok’ untuk tumpang lalu atau melepaskan hajat.
Kepercayaan ini diletakkan kepada haiwan, jembalang dan jin yang menjadi penentu atau ‘penilik’ nasib penduduk kampung demi mendapatkan kesihatan, kekayaan mahupun menolak bala.
Selain melakukan ritual atau membaca mantera dan jampi, bagi masyarakat Melayu di Kampung Rim, Jasin, Melaka antara cara lain yang diamalkan penduduk zaman silam adalah meramal untung-nasib dengan puisi rejang.
Rejang ini disifatkan sebagai kalendar yang ditaakul menerusi sifat binatang, kerana ketika itu orang-orang kampung masih belum mempunyai pegangan kuat pada agama dan mencerap sesuatu menerusi alam.
Menurut pengkaji rejang, Rani Embi, 64, susunan bait itu memiliki ciri asas iaitu mestilah mempunyai unsur alam dan binatang pada baris pertama. Malah, pada rejang masyarakat dahulu, terdapat juga bait yang menyebut jembalang seperti jerangkung, puntianak dan langsuir.
Rejang ini sifatnya seakan syair dan pantun, namun ia memiliki rima akhir yang tidak tetap. Dalam pada itu, ia memiliki persamaan dengan pantun empat kerat kerana dua baris pertamanya ialah pembayang dan dua baris terakhirnya ialah maksud.
Dua baris pertama rejang bagaimanapun tidak berkaitan langsung, tidak seperti pantun, dua baris pertamanya adalah berhubungan.
Ujar Rani, lembaran-lembaran puisi rejang kebiasaannya akan menjadi penilik sebelum para petani lakukan kerja-kerja menanam dan menuai padi dengan mengambil kira binatang apa yang akan muncul pada halaman yang dibuka dan dinyanyikan.
Pantang larang sebegini turut ditemukan dalam seksyen MSS 291 Petua di kutubkhanah Perpustakaan Negara Malaysia dengan mencatatkan pada tanggal tiga (kemungkinan hari ketiga dalam sebulan) akan berlaku tidak baik sekiranya pergi berlayar, berjalan atau bercucuk tanam.
“Mereka (para petani) akan mencucuk di bahagian bawah buku puisi rejang itu menggunakan lidi lalu membuka halaman yang dicucuk itu atau secara rawak memilih mana-mana puisi rejang untuk dinyanyikan.
“Jika haiwannya tikus atau burung, memang mereka tidak akan menyemai padi, tunggu hari esok pula kerana mengikut kepercayaan ia merupakan petanda tidak baik. Kalau harimau, lembu atau kerbau, itu tidak mengapa,” katanya ketika ditemui di pejabat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.
Ujarnya, puisi rejang berunsur khurafat dan tahyul sehinggalah pada tahun 1960-an apabila para ulama mula menggantikannya dengan ilmu berkaitan fiqah serta tauhid. Pada tahun 1960-an jugalah para ulama telah mengharamkan amalan mandi safar dalam kalangan masyarakat.
“Dalam 30 buah puisi rejang yang saya temui, tidak ada unsur khurafat kerana rejang pertama mengenai menuntut ilmu, manakala yang terakhir berkisar kiamat,” katanya.

Lapan hari bulan rejangnya lembu,
Lembu sekoci turun sekawan,
Mati ditimpa dahan mempelam,
Tahu mengucap dua kalimah
syahadah, Itulah tanda anak Islam.
Katanya, nyanyian rejang juga dibezakan bagi lelaki dan perempuan selepas puisi itu dibawa naik dari sawah ke serambi seterusnya ke rumah.
“Selepas siap melakukan kerja-kerja di dapur, golongan ibu akan duduk berzanji, selepas itu berendoi dan rejang ini adalah sisipannya.
“Bagi orang perempuan, rejang ini akan dilagukan dengan lenggok yang lebih beralun dan secara peribadi berdasarkan pengalaman sebagai tenaga pengajar dalam kesusasteraan selama lebih 30 tahun, rejang orang perempuan ini adalah yang paling indah buat halwa telinga,” katanya.
Tambahnya, selain menyampaikan ilmu agama, sebagaimana masyarakat dahulu melagukan 20 sifat Allah SWT mahupun nama-nama Rasul, rukun Islam, rukun Iman dan bulan Islam, rejang ini digunakan oleh masyarakat untuk menyindir secara halus.
“Ada menggunakannya untuk menyindir secara halus atau memberi nasihat, begitulah fungsi rejang,” katanya.
Menyingkap mengenai garis masa kewujudan puisi rejang itu dalam dunia kesusasteraan, Rani memberitahu, karya estetika itu pernah ‘hilang’ pada era 70-an apabila tidak diteruskan oleh generasi seterusnya.
Katanya, dia kemudian menemui semula rejang itu sekitar tahun 1998 di sebuah program sastera budaya di Asahan, Melaka selepas dimaklumkan oleh seorang sahabat yang mesra dengan panggilan Pak Mahmood.
“Pak Mahmood tanya kepada saya, cikgu tahu tak ada rejang di Rim, Jasin dan sejak itu saya mengumpulkan maklumat dan berjaya bertemu dengan salah seorang pelopornya iaitu Imam Haji Achim Pegoh.
“Namun, yang berjaya dipelihara hanyalah lagu rejang bagi orang lelaki kerana pengamal lagu puisi rejang orang perempuan iaitu ibunya, Allahyarham Hajah Rohayah telah meninggal dunia,” katanya.
Jelasnya, dia bagaimanapun berjaya mendapat sebuah lagu rejang dan dikembangkan dalam usaha selama 20 tahun yang dilagukan pertama kali di Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka pada Karnival Puisi Klasik 2004.
Lagu puisi itu kemudian dirakamkan dengan kerjasama JKKN pada 2010.
Sementara itu, Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias berkata, kini pihaknya dalam usaha untuk menyemarakkan seni warisan puisi rejang.
“Kita telah dapat bekerjasama dengan saudara Siso Kopratasa untuk ciptakan satu irama untuk rejang dan itu merupakan lagu pertama yang dihasilkan untuk iringan puisi.
“Sebelum ini puisi rejang ini sekadar dinyanyikan dalam bentuk syair tanpa muzik dan kita akan terus mencipta irama untuk koleksi seni yang diperoleh Rani iaitu hampir 40 jenis irama,” katanya.
Tambah Ezlina, karya rejang itu turut ditemui dalam pantun empat kerat orang Peranakan Baba Nyonya.
Seekor hari bulan rejang hantu,
Hantu digunung inderagatu,
Tuan emas 10 mutu, Makin dipandang bertambah pilu.
Katanya, puisi rejang itu turut diperkenal dan diterapkan nilai karyanya di peringkat sekolah.
Jelasnya, setakat ini tiga buah sekolah telah mengambil bahagian dalam pemuliharaan puisi rejang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Perak, SMKA Sharifah Rodziah dan Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah, Jasin.
















