fbpx

Mahkamah: Berkat Ramadan SM Faisal, Emilia Hanafi berdamai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S.M Faisal (tengah) bergambar dengan barisan peguamnya di Mahkamah Majistret hari ini.- Foto NORLIZAH ABAS/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Emilia Hanafi selepas bekas isterinya itu menarik balik kes.

Majistret Nadia Othman memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader supaya S.M. Faisal dibebaskan atas tuduhan ekoran persetujuan Emilia menarik balik kes.

“Saya percaya pihak-pihak telah berdamai dan mencapai jalan penyelesaian. Saya melepas dan membebaskan SM Faisal daripada pertuduhan dan wang jaminan dikembalikan,” ujar Nadia yang turut merekodkan terma-terma persetujuan antara kedua-dua belah pihak.

Sebelum itu, Nizam Bashir selaku peguam pemerhati yang mewakili Emilia memaklumkan, SM Faisal dan bekas isterinya mencapai penyelesaian global agar semua pertikaian melibatkan mereka diselesaikan secara baik.

Terdahulu, Emilia mengangkat sumpah dalam kandang saksi bagi memaklumkan tujuan kehadirannya ke mahkamah hari ini.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, Emilia memaklumkan beliau berhasrat menarik balik kes selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian.

Nur Aishah: Puan faham apakah kesan jika kes ini ditarik balik?
Emilia: Ya, faham. Saya tidak boleh meneruskan kes terhadap tertuduh.

Nur Aishah: Adakah kamu akan menyalahkan mana-mana pihak seperti polis, mahkamah, peguam dan pihak pendakwaan setelah kes ini ditarik balik?
Emilia: Tidak.

Nur Aishah: Saya pohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Pada awal prosiding, Akberdin yang hadir bersama-sama Datuk Jagjit Singh mengemukakan permohonan lisan agar Emilia yang juga pengadu kes dirujuk kepada pakar psikiatri mengikut Akta Kesihatan Mental 2001.

Akberdin berkata, pihak pembelaan akan mengemukakan permohonan bertulis disertai dengan afidavit sokongan sama ada wanita itu layak dari segi mental untuk memberi keterangan sebagai saksi.

“Kami mohon diberi laluan membuat permohonan itu dan dijawab oleh pihak berkenaan dan kita akan lihat (perkembangan) dari situ nanti,” ujar beliau.

Sementara itu, di luar mahkamah, Nizam memaklumkan, kes tersebut berjaya diselesaikan secara global dengan mengambil berkat bulan Ramadan serta atas faktor kemaslahatan anak-anak mereka.

Tanpa mendedahkan terma-terma penyelesaian yang disifatkan sebagai sulit, beliau menjelaskan penyelesaian global itu termasuk tuntutan mutaah dan harta sepencarian di Mahkamah Syariah.

Sementara itu, Akberdin memaklumkan, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk tidak mendedahkan terma-terma penyelesaian kepada umum.

“Selepas ini kedua-dua pihak akan ambil tindakan untuk tidak meneruskan semua tuntutan di Mahkamah Syariah dan berharap semua berjalan lancar,” ujarnya.

Sementara itu, S.M. Faisal ketika ditemui melahirkan kesyukurannya dengan berita baik itu dan mahu menumpukan perhatian kepada anak-anaknya.

“Alhamdulillah, kes sudah selesai dengan cara yang baik pada bulan Ramadan. Kes ini telah berjalan bertahun-tahun dan sekarang nak fokus tengok anak-anak balik dengan cara yang baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Emilia berkata beliau mengambil berkat bulan yang mulia demi anak-anak selain menyerahkan kepada budi bicara peguamnya pada masa akan datang.

Pada 24 Mac lalu, seorang lagi peguam pemerhati bagi pihak Emilia, Nazri Yahya memaklumkan, kedua-dua pihak berhasrat berunding secara serius untuk menyelesaikan kes melibatkan pertuduhan terhadap S.M. Faisal.

Mengikut pertuduhan, S.M Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields, antara pukul 12.30 tengah hari dan 4.30 petang, pada 22 November 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI