fbpx

Ab. Rauf Ketua Menteri Melaka Ke-13

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB. RAUF Yusoh mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di hadapan Mohd. Ali di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang Dipertua Negeri, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada pukul 3.33 petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Seri Utama.

Turut hadir isteri Mohd. Ali, Toh Puan Asmah Abd. Rahman dan isteri Ab. Rauf, Datin Seri Zuriyah Ab. Aziz.

Ab. Rauf, 61, sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka dicalonkan UMNO bagi menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang melepaskan jawatannya pada Selasa lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam mengesahkan perkara itu dan memberitahu, pihaknya mengutuskan warkah kepada Tun Mohd. Ali untuk menyerahkan surat peletakan jawatan dan mencadangkan Datuk Seri Rauf sebagai Ketua Menteri yang baharu.

Ini merupakan kali kedua Melaka melaksanakan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November 2021.

Sulaiman mengangkat sumpah kali pertama sebagai Ketua Menteri Melaka pada 9 Mac 2020 menggantikan pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri, Adly Zahari yang tumbang pada 25 Februari 2020 selepas kehilangan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerajaan Sulaiman bagaimanapun hanya bertahan sehingga 4 Oktober 2021 selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diketuai Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan terhadapnya, sekali gus menyebabkan PRN terpaksa dilaksanakan.

Pada PRN tersebut, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi DUN Melaka iaitu lebih dua pertiga, diikuti PH dengan lima kerusi dan PN dua kerusi.

Ini membolehkan Sulaiman yang ketika itu merupakan poster boy mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12 seperti mana dijanjikan BN dalam manifesto pilihan raya.

Ab. Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dalam PRN Melaka dengan majoriti 364 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

Bagaimanapun, istiadat angkat sumpah yang dilakukan pukul 12.58 tengah malam pada 21 November 2021 telah menimbulkan pelbagai polemik politik dan spekulasi termasuk Ab. Rauf yang ‘berhajat’ untuk menduduk kerusi nombor satu negeri ini.

Dalam pada itu, semasa pengambilalihan kerajaan negeri daripada PH pada Mac 2020, Ab. Rauf yang ketika itu bukan ADUN dilantik memegang jawatan Yang Dipertua DUN Melaka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI