fbpx

Remaja derita 29 kali patah tulang perlukan RM30,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mariam menunjukkan keadaan kaki Putri Nur Damia Danisha yang perlu dibedah segera ketika ditemui di Taman Aman, Alor Setar baru-baru ini.

ALOR SETAR – Tujuh kali terjatuh dan 29 kali pula mengalami patah tulang, sekali gus mengakibatkan Putri Nur Damia Danisha Abdullah kini bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda untuk bergerak.

Di sebalik kudrat yang terhad itu, remaja yang menghidap kanser tulang rapuh atau ‘Osteogenesis Imperfecta Type III’ sejak lahir itu masih menaruh harapan untuk berjalan semula.

Putri Nur Damia Danisha, 14, berkata, hasrat itu bakal jadi kenyataan seandainya dia menjalani pembedahan tulang yang menelan kos lebih RM48,000 di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Sepatutnya saya dibedah pada 31 Januari lalu, tetapi kami tak cukup wang jadi terpaksa tangguhkan dulu. Ibu saya (Noor Amiza Badaruddin, 39,) meninggal dunia akibat kanser payudara dua tahun lalu dan meninggalkan saya dan adik lelaki.

“Adik saya yang berusia lima tahun tinggal bersama nenek sebelah arwah ibu,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya, Mariam Md. Isa, 67, di Taman Aman di sini semalam.

Menurut Putri Nur Damia Danisha, sehingga kini dia sudah menjalani tujuh kali pembedahan memasukkan besi pada betis, paha dan lutut bagi menyokong tulangnya.

“Saya tak boleh terjatuh, kalau jatuh memang patah tulang. Selalunya patah pada bahagian kaki. Pembedahan yang saya kena buat ini untuk ganti besi lama dan doktor kata Insya-Allah selepas ini saya boleh jalan ­semula,” katanya.

Putri Nur Damia Danisha sebelum ini pernah belajar di sekolah biasa, namun terpaksa berpindah ke sekolah pendidikan khas apabila menggunakan kerusi roda.

“Kalau ikutkan hati memang nak belajar di sekolah biasa kerana saya cacat anggota, bukan ada masalah pembelajaran. Sebab itu saya harap sangat dapat bedah dan berjalan semula,” luahnya penuh bersemangat.

Katanya, setakat ini dia mempunyai simpanan sebanyak RM18,000 hasil sumbangan orang ramai yang diusahakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk pembedahan itu.

“Jadi saya perlu sekurang-kurangnya RM30,000 lagi. Doktor kata kena bedah secepat mungkin kerana besi lama di kaki saya semakin terkeluar,” katanya.

Mereka yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan mela­lui akaun Bank Simpanan Nasio­nal (BSN) Putri Nur Damia Danisha 0210929000160717 atau menghubunginya di talian 016-721 2206.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI