fbpx

17,920 premis diperiksa sejak pertama Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fuziah (tengah) ketika perasmian Bazar Ramadan Rahmah di Bazar Ramadan Bayan Baru hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menjalankan 17,920 pemeriksaan di premis-premis perniagaan di seluruh negara sejak 23 Mac lalu sehingga semalam.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, selain itu dalam tempoh yang sama pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di lebih 6,000 bazar Ramadan di seluruh negara.

Menurutnya, pemantauan yang dijalankan menerusi Op Pantau itu akan dijalankan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan harga barangan di premis perniagaan dan makanan yang dijual di bazar Ramadan sentiasa berpatutan dan berkualiti.

“KPDN sentiasa mengambil berat dan memastikan umat Islam serta pengguna mendapat perkhidmatan terbaik daripada peniaga di bazar Ramadan.

“Sejak 23 Mac hingga semalam, KPDN telah menjalankan 17,920 pemeriksaan di premis perniagaan dan pemeriksaan di lebih 6,000 bazar Ramadan di seluruh negara bagi memastikan tidak berlaku pencatutan harga,” katanya dalam sidang akhbar di bazar Ramadan Bayan Baru di sini hari ini.

Terdahulu, Fuziah melancarkan bazar Ramadan Rahmah (BRR) Bayan Baru dan program inisiatif pendigitalan sektor peruncitan (Redi).

Op Pantau 2023 dilaksanakan secara seragam dan berfokus bermula 23 Mac sehingga 21 April nanti dengan tumpuan operasi seperti di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti jualan dalam talian.

Menurut Fuziah, sejak 23 Mac hingga semalam pihaknya menerima 283 aduan berhubung kenaikan harga barang termasuk di bazar Ramadan di seluruh negara sejak 23 Mac lalu hingga semalam.

“Sebanyak 92 kes telah diambil tindakan dengan jumlah kompaun bernilai RM11,400 dan semalam sahaja kita menerima 51 aduan dengan jumlah kompaun bernilai RM3,000.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah membabitkan alat timbang yang tidak tepat dan kebanyakkan kesalahan dilakukan oleh peniaga kedai runcit, pasar dan lain-lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI