fbpx

Solat tarawih gaya P. Ramlee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Saban tahun kita berpuasa. Setiap kali Ramadan, apa yang kita saksikan ialah orang berpusu-pusu ke bazar untuk membeli juadah. Ada yang sanggup beratur untuk membeli martabak dan nasi arab, sedangkan benda itu biasa sahaja ketika di luar Ramadan.

Pensohor media sosial tidak ketinggalan membuat naik kandungan dengan resipi-resipi ringkas, tetapi menggiurkan sehingga ramai ingin mencubanya pula.

Apa yang kita nampak ketika berpuasa ialah lapar dan dahaga, banyak pihak berlumba-lumba membuat majlis berbuka serta moreh selepas bertarawih.

Namun, yang tersirat sebenarnya banyak lagi untuk kita ketahui hikmahnya. Antaranya ialah mendisiplinkan diri dan menambah ketakwaan kepada Allah SWT.

Bagi sesetengah orang, mereka dapat mengambil manfaat dengan ibadah puasa. Tetapi bagi kebanyakan manusia, puasa itu sekadar melaksanakan perintah agama dan tidak lebih daripada itu.

Ada juga yang berpuasa tetapi meninggalkan solat. Baginya puasa hanya tradisi. Sedangkan sudah diketahui puasa tanpa solat dan amal soleh lain hanya mendapat lapar dan dahaga.

Puasa juga menyembunyikan kemiskinan seseorang. Cukuplah berbuka dengan kurma dan air atau pergi ke masjid yang menyediakan juadah jika tiada wang membeli makanan. Begitulah hikmah yang Allah SWT telah siapkan untuk ibadat puasa.

Bila sebut mengenai puasa, ibadat paling sinonim dengannya ialah solat sunat tarawih. Ia ibarat senaman yang dilakukan pada waktu malam bagi menghadamkan segala makanan yang dikunyah ketika berbuka.

Bila kita amati, filem Nujum Pak Belalang lakonan Tan Sri P. Ramlee ada juga membawa membawa maksud tersirat mengenai tarawih.

Netizen merungkai maksud tersirat yang terkandung dalam adegan ketika dua ahli nujum dari negara Beringin Rendang dan Masai hendak beradu kepandaian melalui masalah-masalah yang diutarakan.

1 banyak-banyak, 2 sedikit-sedikit, 3 jarang-jarang, 4 kadang-kadang. Apa yang kita dimaklumkan ialah ia mengenai kahwin yang mana jawapannya telah pun kita ketahui melalui filem berkenaan.

Jika kita terjemahkan ke dalam perihal solat tarawih, P. Ramlee sebenarnya menegur tabiat orang kita yang menjadikan minggu pertama Ramadan sebagai pesta solat di masjid.

Masuk minggu kedua, sedikit demi sedikit jemaah mula berkurangan kerana mula bosan atau sibuk dengan hal duniawi.

Minggu ketiga sudah jarang pergi ke masjid dan daripada 20 saf, hanya tinggal tiga atau empat sahaja.

Hari-hari terakhir Ramadan pula janganlah ditanya lagi. Walaupun peluang bertemu lailatul qadar terjadi pada malam-malam ganjil, jemaah yang tinggal dikhuatiri hanya tok imam dan bilal sahaja. Itulah realitinya.

Jadi, adakah kita bersedia untuk mengubah Ramadan tahun ini menjadi lebih baik atau sebaliknya. Ramai yang berpuasa tetapi ada juga nampak abang rider Food Panda dan Grab Food tak berhenti kayuh sejak pagi. Bersangka baik, bersangka baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI