fbpx

Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tetap beroperasi walaupun akaun bank dibeku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zahid (berdiri, kiri) ketika mengiringi Ismail Sabri melawat pelajar-pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kekal beroperasi walaupun akaun banknya telah dibekukan sejak insiden kebakaran pada 2017 lalu.

Pengetuanya, Mohd. Zahid Mahmood berkata, ramai individu yang bersimpati dengan nasib pusat tahfiz berkenaan dan bermurah hati menghulurkan bantuan kepada mereka sehingga mampu beroperasi semula sehingga kini meskipun tidak mendapat sebarang bantuan dana daripada pihak berwajib.

Katanya, ini kerana Allah sentiasa menghantar insan serta individu perseorangan untuk membantu.

“Alhamdulillah kita boleh bangun beroperasi seperti biasa. Kami kembali pulih dan bersemangat untuk beroperasi seperti biasa.

“Selain akaun dibekukan, kalau dulu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bantu kami, tetapi apabila kes 2018 (sekolah) disaman dan MAIWP disaman juga, jadi bantuan ditangguhkan dahulu daripada 2018 sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan 100 pek makanan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersempena program Kongsi Rezeki Ramadan di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Zahid, Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, memerlukan kira-kira RM25,000 hingga RM30,000 untuk kegunaan kos penyelenggaran dan makan minum 30 pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Kita bukan saja buat rayuan, tetapi kita berjumpa terus dengan pihak berwajib cuma oleh kerana bukan rezeki kami, maka belum ada bantuan lagi.

“Tetapi tidak ada masalah walaupun tempat kita tidak ada yuran pengajian dan tanpa dana pihak berwajib, Alhamdulillah sekolah boleh beroperasi.

“Sebab kalau Allah kata bagi, maka bagi kerana pengharapan kita bukan sesiapa, terus pada Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zahid memberitahu, Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tetap mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai untuk menghantar anak-anak mereka.

Katanya, kebanyakan permohonon diterima mencecah 200 orang, tetapi terpaksa ditapis kerana kuota yang ditetapkan hanya 50 pelajar.

“Kita bukan tak mahu buka iklan, tetapi tidak berani.

“Apabila tidak ada tajaan, kita pun takut ada apa-apa berlaku masa hadapan,” ujarnya.

Terdahulu, pusat tahfiz ini pernah menjadi tumpuan apabila seramai 21 pelajar dan dua gurunya terkorban dalam tragedi kebakaran pada 14 September 2017. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI