fbpx

12 lorong tambahan RFID di Lebuh Raya Utara Selatan mula beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Rungutan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan berkenaan kesesakan di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) berakhir apabila 12 lagi lorong tambahan mula beroperasi pada 11 Mac lalu.

Memaklumkan perkara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lorong tambahan itu melibatkan Plaza Tol Setia Alam, Subang, Jalan Duta, Putra Mahkota, Kajang, Kubang Semang, Sungai Besi, Shah Alam, Sungai Buloh, Rawang Selatan serta Jambatan Pulau Pinang.

Jelas beliau, berdasarkan perancangan asal, penambahan lorong RFID ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap pertengahan April ini.

“Namun, berita baik untuk semua pengguna Lebuh Raya Utara Selatan, saya sebagai Menteri Kerja Raya ingin mengumumkan bahawa kerja-kerja menambah lorong RFID di Lebuh Raya Utara-Selatan kini sudah selesai.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kerana telah menambah 12 lagi lorong RFID di lebuh raya kendaliannya lebih awal dari yang dijadualkan sebelum ini,” ujarnya di laman Facebook.

Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan bahawa sistem RFID akan sentiasa dipastikan berada di dalam keadaan yang terbaik.

“Namun saya juga mengharapkan kerjasama daripada penggguna RFID di lebuhraya PLUS untuk sentiasa menggunakan Lorong RFID atau mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari plaza tol serta memastikan baki e-Wallet yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI