fbpx

Ajal wanita hamil 5 bulan ketika dalam perjalanan ke rumah ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal ditunggang seorang wanita yang hamil lima bulan selepas terlibat nahas di Jalan Kemuning-Bukit Bakar, Machang semalam. FOTO IHSAN POLIS

MACHANG – Seorang wanita yang hamil lima bulan maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh dua buah kereta di Jalan Kemuning-Bukit Bakar di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.13 malam itu, mangsa, Che Suriani Mahmod, 22, yang dipercayai sedang dalam perjalanan ke rumah ibunya meninggal dunia dua jam kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Machang di sini.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu oleh seorang pengawal keselamatan berusia 31 tahun dari arah Kuala Besut ke Kuala Krai melalui Jalan Bukit Bakar di sini.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Yamaha Nouvo LC yang ditunggang mangsa yang berada di arah bertentangan dipercayai masuk ke laluannya.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu kereta terbabit cuba mengelak ke sebelah kanan jalan, namun motosikal mangsa merempuh bahagian kiri keretanya.

“Motosikal ditunggang mangsa itu dipercayai turut melanggar sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu seorang wanita berusia 27 tahun yang berada di belakang kereta Proton Wira itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Adli berkata, rempuhan tersebut mengakibatkan mangsa tercampak ke tengah jalan dan mengalami kecederaan parah pada bahagian hati.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Machang di sini, namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.10 malam.

“Siasatan lanjut mendapati, nahas berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan,” katanya.

Tambah Mohd. Adli, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI